Saturday, July 27, 2024
23.8 C
Brunei

    -

    15 pelajar BRUSCA berjaya tawan puncak Pen y Fan

    Oleh Nurdiyanah R. – 

    CARDIFF, UNITED KINGDOM, 23 FEB – Berada jauh di perantauan, seramai 15 orang pelajar Brunei menuntut di United Kingdom terdiri daripada Persatuan Pelajar Brunei Cardiff (BRUSCA) telah berjaya mendaki ke puncak Pen y Fan setelah menyahut cabaran kira-kira empat jam lebih bersempena memperingati Sambutan Ulang Tahun Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam ke-40 (HK-40), baru-baru ini.

    Menurut salah seorang peserta ekspedisi berkenaan, Awang Raziqqien Abu Bakar mengongsikan kepada Media Permata bahawa Pen y Fan ialah puncak tertinggi di Selatan Wales, dengan ketinggian 886 meter di atas paras laut. Ia adalah sebahagian daripada Brecon Beacons National Park dan menawarkan pemandangan panoramik landskap sekitarnya yang menakjubkan.

    “Apabila berada di puncak Pen y Fan, kami berpeluang menyaksikan keindahan khazanah alam yang indah di pandang mata dengan adanya tasik, bukit-bukit kecil dan juga gunung-gunung yang berdekatan. Cuaca sangat baik walaupun angin kencang sekali-sekala.”

    Jelas Awang Raziqqien lagi, Pen y Fan ialah destinasi popular untuk pejalan kaki dan penggemar aktiviti luar, menarik ribuan pelawat setiap tahun. Kebolehcapaian dan laluan yang ditandai dengan baik menjadikannya sesuai bagi pejalan kaki yang baharu dan berpengalaman.

    Puncak itu, tambahnya boleh dicapai melalui beberapa laluan, termasuk laluan Storey Arms yang popular. Selain itu, Pen y Fan turut menyimpan kepentingan sejarah di mana ia telah digunakan untuk latihan ketenteraan semasa Perang Dunia kedua. Secara keseluruhan, ia adalah mercu tanda ikonik di Wales, menawarkan pengalaman luar yang tidak dapat dilupakan untuk pelawat daripada semua peringkat umur.

    “Ini adalah kali pertama saya mendaki gunung yang sebenar dan pastinya saya begitu bersyukur dan gembira merasai detik-detik pengalaman berada di puncak Pen y Fan lebih-lebih bertepatan dengan suasana meraikan sambutan HK-40,” luahnya.

    Seorang lagi peserta ekspedisi mendaki puncak berkenaan, Awang Hafiz turut mengungkapkan perasaan peribadi dengan mengikuti kegiatan berkenaan ia pastinya mendidik dirinya dan peserta-peserta yang lain untuk lebih menghargai alam semula jadi ciptaan Ilahi di Wales di samping ia juga dapat mengeratkan lagi ikatan dalam kehidupan bermasyarakat ketika berada di sana.

    Sementara itu, Dayang Farwizah yang turut menyertai aktiviti lasak berkenaan juga menambah bahawa ketahanan dan keseronokan menakluki ketinggian yang baharu pernah dirasai itu pastinya menggambarkan setiap langkah pendakian menuju ke puncak Pen y Fan itu bagaikan sebuah perjalanan kita meraih arus kemajuan Negara Brunei Darussalam meniti aspirasi kemerdekaan bersama.

    Para pelajar berpeluang bergambar di puncak Pen y Fan sambil memegang bendera Negara Brunei Darussalam. – GAMBAR SERAHAN AWANG RAZIQQIEN
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Agensi cuaca Jepun keluarkan amaran strok haba

    TOKYO, 26 JULAI – Pegawai cuaca Jepun hari ini menggesa orang ramai mengambil langkah-langkah bagi mencegah strok haba ketika cuaca panas melampau dijangka melanda...