Ahad, 23 November 2025
24.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    15 pelajar cemerlang akademik diraikan

    Oleh Nurdiyanah R. – 

    BANDAR SERI BEGAWAN, 29 MEI – Hengyi Industries Sdn Bhd hari ini telah mengadakan Majlis Anugerah Kecemerlangan Akademik Hengyi Industries buat julung kalinya bagi menghargai dan mengiktiraf pencapaian 15 pelajar cemerlang dari Sekolah Menengah (SM) Pengiran Isteri Hajah Mariam dan Pusat Tingkatan Enam Meragang.

    Majlis yang berlangsung di bangunan pejabat utama syarikat itu di Pulau Muara Besar, telah menyaksikan tujuh pelajar ‘O’ Level dari SM Pengiran Isteri Hajah Mariam dan lapan pelajar ‘A’ Level dari Pusat Tingkatan Enam Meragang menerima Anugerah Kecemerlangan Akademik Hengyi Industries.

    Setiap penerima menerima sijil kecemerlangan dan anugerah kewangan sebanyak $300 sebagai pengiktirafan atas kerja keras, dedikasi dan prestasi akademik mereka yang luar biasa.

    Anugerah Kecemerlangan Akademik Hengyi Industries ialah inisiatif baharu di bawah Hengyi Future-Ready syarikat berkenaan, iaitu tonggak utama tanggungjawab sosial korporat syarikat yang memberi tumpuan kepada menyokong pertumbuhan dan pembangunan bakat tempatan di Negara Brunei Darussalam.

    Anugerah itu juga bertujuan untuk mengiktiraf prestasi akademik yang cemerlang dalam kalangan pelajar menengah dan pra-universiti, dan menggalakkan pelajar mencapai potensi penuh mereka dan menyediakan mereka untuk kerjaya yang bermakna dalam industri petrokimia.

    Gambar ramai pada Majlis Anugerah Kecemerlangan Akademik Hengyi Industries yang berlangsung di bangunan pejabat utama syarikat itu di Pulau Muara Besar. – GAMBAR SERAHAN HENGYI
    ATAS & BAWAH : Antara pelajar menerima anugerah pada majlis tersebut. – GAMBAR SERAHAN HENGYI
    GAMBAR SERAHAN HENGYI

    Pada majlis berkenaan, Ketua Jabatan (Sumber Manusia) Hengyi Industries, Zhou Fu Zhen turut menyampaikan ucapan pembukaannya, diikuti dengan persembahan video yang menonjolkan operasi Hengyi Industries dan inisiatifnya, termasuk Program Biasiswa dan Kolaborasi Bersama Hengyi Industries.

    Majlis diakhiri dengan bergambar ramai dan diselajurkan dengan sesi lawatan tapak berpandu di sekitar kemudahan Hengyi Industries, memberikan pelajar gambaran langsung tentang operasi harian kilang penapisan itu.

    Sehubungan itu, inisiatif ini juga menggariskan komitmen berterusan syarikat berkenaan untuk mencapai kecemerlangan dalam membangun-kan petrokimia melalui pemerkasaan inovasi dan kemampanan perniagaan, dengan memupuk generasi baharu yang berkebolehan, mendorong, dan melahirkan belia yang berilmu yang akan menyumbang kepada pembangunan Brunei baik dalam industri petrokimia dan juga bidang-bidang yang lain.

    Melalui anugerah ini, Hengyi Industries juga bertujuan untuk menggalakkan pembelajaran berterusan di kalangan belia dan menyumbang kepada perjalanan negara ke arah mencapai Wawasan Brunei 2035 untuk melahirkan rakyat yang berpendidikan, berkemahiran tinggi dan berjaya.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda