Wednesday, February 12, 2025
29.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    15 pelajar UBD lanjut pengajian di ZJU

    Oleh Salawati Haji Yahya –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 11 FEB – 15 pelajar Universiti Brunei Darussalam (UBD) yang terpilih di bawah Program Biasiswa Bersama di antara Hengyi Industries, UBD dan Universiti Zhejiang (ZJU) hari ini, telah berlepas ke Hangzhou, China, untuk meneruskan pengajian di ZJU.

    Pelajar berkenaan sedang mengikuti Ijazah Sarjana Muda dalam Proses Kejuruteraan dan Kimia telah secara rasmi dianugerahkan biasiswa pada 6 Februari dan menjadikan mereka kumpulan penerima yang ke-12 di bawah program itu.

    Sebagai sebahagian daripada biasiswa itu, mereka akan menjalani pengajian selama satu tahun lima bulan yang dibiayai sepenuhnya di ZJU, di mana mereka akan berpeluang untuk mendapatkan pengetahuan lanjut, latihan khusus dan pendedahan antarabangsa dalam bidang mereka.

    Setelah menamatkan pengajian, pelajar-pelajar berkenaan akan kembali ke Brunei untuk menyelesaikan tahun akademik terakhir mereka di UBD sebelum mengikuti latihan industri selama enam bulan dengan Hengyi Industries.

    Graduan program itu juga akan berpeluang untuk bekerja sepenuh masa dengan Hengyi Industries.

    Gambar ramai pelajar yang menerima biasiswa di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei kelmarin. – GAMBAR SERAHAN HENGYI INDUSTRIES
    GAMBAR SERAHAN HENGYI INDUSTRIES
    GAMBAR SERAHAN HENGYI INDUSTRIES

    Sementara itu, Awang Mohammad Azeerul Faizz, berkongsi kegembiraan dengan peluang untuk melanjutkan pengajian di ZJU, disamping berpeluang untuk menimba ilmu, bekerja dengan pakar industri di sana.

    Manakala Dayang Amni Syazwani pula berasa gembira dan teruja untuk meneroka kampus dan bekerja dengan rakan yang berkemahiran selain berpeluang menimba ilmu dengan para pensyarah yang berpengalaman.

    Katanya lagi, “dengan peluang yang diberikan ini, ia setentunya memberi kesan dalam perjalanan akademik dan kerjaya masa depan saya”.

    “Saya berasa besar hati untuk belajar di ZJU dan saya tidak sabar untuk terlibat dalam persekitaran akademik yang meriah, menyertai penyelidikan serta mendapatkan perspektif global dan dengan peluang ini juga akan membolehkan saya merasai budaya kaya Hangzhou melalui interaksi dengan pelbagai cendekiawan dan membantu saya berkembang menjadi individu yang seimbang,” jelas Goh Jia Sheng, salah seorang penerima biasiswa berkenaan.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda