Oleh Sim Y. H. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 24 NOV – Seramai 15 pemenang cabutan bertuah diraikan dan menerima hadiah mereka pada Majlis Penyampaian Hadiah Cabutan Bertuah bagi Kajian Audiens 2023/2024 yang berlangsung di Kompleks Penyiaran RTB, Sungai Akar, kelmarin.
Menurut kenyataan Radio Televisyen Brunei (RTB), majlis itu merupakan sebagai tanda penghargaan kepada penyertaan dan sumbangan peserta kajian.
Hadir untuk menyempurnakan penyampaian hadiah kepada para pemenang yang diraikan ialah Pemangku Pengarah RTB, Pengiran Haji Ismail bin Pengiran Haji Muhammad Kifli.
Majlis turut dihadiri oleh Ahli Jawatankuasa Pengurusan RTB, pegawai dan kakitangan yang menggambarkan komitmen bersama RTB dalam mencapai kecemerlangan penyiaran.
Ketua Bahagian Penyelidikan dan Perkembangan, Lim Kim Dien dalam ucapannya menekankan kepentingan maklum balas audiens dalam memperkukuhkan strategi RTB serta meningkatkan kualiti kandungan dan program penyiaran supaya lebih selaras dengan keperluan dan pilihan audiens.
Kajian itu merupakan inisiatif penting RTB dalam usahanya untuk terus melibatkan masyarakat, memahami cita rasa audiens dan mempertingkatkan perkhidmatan penyiaran di televisyen, radio serta platform digital.
Kajian itu telah dijalankan dari 1 Mei hingga 31 Ogos dan menerima sambutan yang memberangsangkan, membuktikan penglibatan aktif dan kepercayaan masyarakat terhadap inisiatif RTB.
Hasil kajian berkenaan memberikan pandangan yang bernilai kepada RTB mengenai tahap penglibatan audiens, jangkaan mereka dan corak penggunaan media. Maklum balas itu amat penting untuk menilai keberkesanan kandungan RTB, mengenal pasti ruang penambahbaikan serta mencetuskan inovasi supaya terus relevan dalam landskap media yang sentiasa berubah.
Penemuan daripada kajian itu akan menjadi panduan bagi RTB dalam memperhalusi strategi untuk terus menyediakan program berkualiti yang memenuhi keperluan pelbagai lapisan masyarakat di negara ini.