Oleh Salawati Haji Yahya
BANDAR SERI BEGAWAN, 25 Jun – Seramai 15 penyumbang menyertai Program ‘Ramadan Free Market’ yang diadakan baru-baru ini di Bangunan Darul Huda, Pusat Dakwah Islamiah anjuran Kelab Belia Mualaf.
Free Market ini dianjurkan bersama Mafaz Khalisah, Sekolah Tuisyen Bruilm dan FutuRe itu berkonsepkan Beri dan Ambil Apa Saja dengan Percuma itu mendapat sambutan dari orang ramai.
Pada Free Market itu, penyumbang akan mempamerkan barangan secara percuma, di mana orang ramai hanya perlu mengambil barangan tersebut dengan hanya meminta izin kepada pemilik barang berkenaan.
Tiada pertukaran duit diperlukan semasa aktiviti itu diadakan dan hanya memerlukan adab sopan santun dan senyuman saja.
Barangan yang diberikan secara percuma kepada orang ramai ini seperti baju kurung, tudung, baju cara melayu, kontena dan gelas kaca untuk hidangan raya, barang keperluan harian dan lainnya.

Free Market ini juga telah mencatat 179 orang pengunjung yang mendaftar sebagai pelanggan Free Market yang terdiri dari 67 keluarga mualaf dan keluarga-keluarga dari orang awam yang memerlukan.
Majlis tersebut dirasmikan oleh Pemangku Pengarah Pusat Dakwah, Haji Abdul Aziz bin Haji Abdul Kahar.
Program juga diserikan dengan ceramah yang bertajuk ‘Persaudaraan Sesama Islam’ oleh Awang Muhammad Yusri bin Haji Abdul Majid dari Pusat Dawah Islamiah.