Oleh Ak Zaki Kasharan
BANDAR SERI BEGAWAN, 5 OKT – Sebanyak 15 perusahaan makanan dan minuman (F&B) Brunei daripada program pembangunan Darussalam Enterprise (DARe), baru-baru ini, telah menyertai pameran perdagangan F&B terbesar Singapura, Food & Hotel Asia – F&B (FHA-F&B) buat pertama kali untuk meneroka peluang perniagaan baharu dan mendapatkan pandangan tentang amalan terbaik industri.
Kembali daripada berehat selama empat tahun akibat pandemik COVID-19, FHA-F&B yang diadakan di Ekspo Singapura dari 5 hingga 8 September, menarik lebih 2,000 peserta pameran dan lebih 50,000 pengunjung dari lebih 100 negara.
DARe mengendalikan pavilion Brunei semasa pameran perdagangan yang menempatkan produk daripada 12 perniagaan dalam program Elevate dan Bruneian Made.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan DARe, daripada 12 perusahaan itu, empat telah menghadirinya secara fizikal iaitu A.Ayam Berjaya, Sabli Food Industries, Mori Enterprise dan Taurean Bakeshop & Cafe.
Perniagaan lain yang turut serta ialah Volco Venture, Ori, Bruhouse, M2Victoria, Syanisah, Syarikat Riz-qussalam, Superfish Growers dan Tasconi’s International.

Sementara itu, tiga lagi alumni dan peserta program Kontena Park DARe iaitu Tasanne Fast Food, Mabel Trading (Pho Ngon), dan Top Folk telah menyertai FHA-F&B sebagai pelawat untuk menghadiri seminar sambil mendapatkan bahan dan peralatan daripada peserta pameran lain.
Penyertaan DARe adalah sebahagian daripada usaha berterusan organisasi untuk mewujudkan ekosistem yang membantu membangunkan perniagaan pada peringkat berbeza dalam kitaran hayat mereka.
Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif DARe, Daniel Leong dipetik berkata, “Memandangkan ekonomi dan perniagaan dilihat akan pulih daripada pandemik, mengambil bahagian dalam pameran perdagangan bereputasi seperti FHA-F&B membantu memanfaatkan peluang pertumbuhan.
“Ini boleh dalam bentuk petunjuk baharu untuk potensi bekalan, mempelajari tentang teknologi terkini untuk meningkatkan produktiviti, dan memperoleh pemahaman yang lebih baik tentang permintaan dan arah aliran pasaran yang berterusan,” tambahnya.
Pengedar dan pembekal yang melawat ke petak Brunei menyatakan minat untuk mengembangkan portfolio produk halal mereka, dan penglibatan susulan sedang diadakan untuk meneroka potensi hubungan.
Setelah mendapat sambutan yang menggalakkan, Pengurus Kanan Pembangunan Perniagaan dan Sokongan DARe, Dayang Nurul A’in binti Hajiaafar, yang mengetuai delegasi DARe di FHA-F&B, berkata bahawa mereka berharap dapat mengembangkan pavilion Brunei dalam edisi akan datang bukan sahaja dengan lebih banyak pengeluar tempatan, tetapi bersama perniagaan lain daripada bidang F&B Brunei termasuk pengedar dan syarikat berkaitan kerajaan.
Susulan FHA-F&B, wakil DARe juga bertemu dengan Enterprise Singapore dan Agensi Makanan Singapura yang masing-masing mengawasi pembangunan perusahaan dan keselamatan makanan, untuk mencari hubungan yang berpotensi, memahami keperluan eksport, dan belajar tentang sektor F&B.
DARe juga melawat beberapa tapak pengeluaran F&B yang menggunakan model inovatif termasuk Smart City Kitchen yang mempunyai sembilan kemudahan central cloud kitchen di seluruh Singapura dan JTC Food Hub @ Senoko, kemudahan pembuatan tujuh tingkat yang menyasarkan PKS.