KABUL, AFGHANISTAN, 22 OKT – Taliban menyerang tempat pemeriksaan di utara Afghanistan, membunuh sekurang-kurangnya 15 anggota polis dalam serangan terbaharu oleh pemberontak, kata pegawai wilayah Afghan hari ini.
Serangan di tempat pemeriksaan di daerah Ali Abad utara wilayah Kunduz bermula lewat malam semalam dan mencetuskan pertempuran beberapa jam, menurut Ghulam Rabani Rabani, anggota majlis wilayah. Selain 15 polis terbunuh, dua pegawai lain cedera dalam serangan, kata beliau.
Serangan berlaku tatkala tentera Afghan bertempur menentang Taliban sejak beberapa minggu lalu di daerah Dashti Archi, Kunduz dan Imam Sahib, tambah Rabani. Jurucakap Taliban Zabihullah Mujahid mendakwa bertanggungjawab atas serangan di tempat pemeriksaan. – AP