Oleh Yusrin Junaidi –
BANDAR SERI BEGAWAN, 20 JUN – Seramai 15 peserta petang tadi menerima surat tawaran bagi menyertai Program BIBD SEED Kohort ke-7 dalam satu majlis penandatanganan yang berlangsung hari ini, sekali gus menandakan satu lagi pencapaian penting dalam usaha Bank Islam Brunei Darussalam (BIBD) untuk memupuk keusahawanan tempatan dan memperkasa komuniti perniagaan di negara ini.
Majlis berkenaan diadakan bagi meraikan kemasukan peserta baharu yang terdiri daripada pelbagai latar belakang termasuk kakitangan kementerian dan orang awam, mencerminkan komitmen program ini terhadap keterangkuman dan peluang saksama bagi semua golongan.
Hadir selaku tetamu kehormat ialah Pemangku Ketua Hubungan Kerajaan dan Projek Khas, Awang Zulhazransa bin Haji Emran, yang turut menandatangani surat tawaran berkenaan bagi pihak BIBD.
Dalam ucapannya, beliau menzahirkan rasa bangga atas semangat dan usaha peserta kohort ketujuh yang telah berjaya menamatkan sesi bootcamp intensif pada Mei lalu.
Beliau turut menyatakan, Program BIBD SEED bukan sekadar platform latihan keusahawanan, tetapi juga satu inisiatif membina keyakinan diri, daya tahan serta semangat berniaga dalam kalangan usahawan baharu.
Program BIBD SEED merupakan salah satu inisiatif utama di bawah Rangka Kerja Kelestarian BIBD, khususnya di bawah teras pertama iaitu Keusahawanan Bertanggungjawab. Ia bertujuan untuk membangunkan perniagaan yang beretika, inklusif dan berdaya tahan demi kemakmuran jangka panjang negara.
Beliau juga menegaskan bahawa komitmen BIBD bukan sahaja tertumpu kepada bantuan kewangan, malah turut merangkumi penciptaan ekosistem keusahawanan yang menyokong pertumbuhan usahawan, khususnya golongan wanita agar dapat memberi sumbangan bermakna kepada pembangunan negara.
Program selama enam bulan itu menawarkan latihan komprehensif dan bimbingan berterusan bagi membolehkan peserta membina, mengurus dan mengekalkan perniagaan mereka dengan lebih berkesan.
Di akhir program, peserta akan membentangkan cadangan perniagaan mereka dan berpeluang untuk menerima geran perniagaan sebagai sokongan terhadap permulaan perjalanan keusahawanan masing-masing.
Melalui Program BIBD SEED ini, para peserta bukan sahaja diberi peluang untuk meningkatkan taraf hidup keluarga, malah diterapkan dengan nilai kerja keras, keazaman dan ketabahan yang diharap dapat diwarisi oleh generasi seterusnya.