Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 2 MAC – Seramai 15 orang kakitangan dari Hotel Radisson telah mengikuti Kursus Marsyal Bomba pada 22 hingga 25 Februari lalu yang berlangsung di Balai Bomba Bandar Seri Begawan.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBP), di sini, kursus berkenaan dikendalikan oleh Bahagian Perhubungan Awam Cawangan Operasi A, JBP.
Para peserta kursus berkenaan diberikan pendedahan kepada pentingnya keselamatan kebakaran secara teori dan praktikal mengenai sebab dan punca berlakunya kebakaran, mengetahui akan tindakan apabila menghadapi insiden kebakaran di tempat kerja dengan membuat latihan pengosongan bangunan secara sistematik, tatacara penggunaan alat-alat pemadam api dan selimut api dengan cara yang betul serta tatacara menyelamatkan diri dari terperangkap dalam bangunan bila berlakunya kebakaran.
Para peserta juga berkesempatan mengadakan lawatan ke Unit Operasi Wanita bagi mengetahui fungsi dan peranan bomba wanita serta mengenali perkakas dan peralatan bomba.
JBP dalam kenyataan itu juga menyatakan bahawa jabatan berkenaan ada menyediakan program-program keselamatan seperti Taklimat Keselamatan Umum Life Saver 995 dan Kursus Marsyal Bomba bagi mengetahui aspek-aspek keselamatan semasa menangani kecemasan.
JBP turut menyatakan bahawa jika berlaku kecemasan, orang ramai boleh menghubungi talian kecemasan 995 dan memberikan maklumat yang tepat.
