BANDAR SERI BEGAWAN, 14 MEI – Daripada 15 yang telah diberikan amaran, empat buah syarikat dikenakan denda kompaun kerana tidak mengendahkan amaran pihak yang berkuasa semasa operasi Kemas (OPKEMAS) yang dijalankan oleh pihak Autoriti Perancang, Jabatan Perancang Bandar dan Desa (JPBD) di Daerah Brunei dan Muara pada 12 Mei.
Menurut kenyataan JPBD, syarikat berkenaan juga didapati melanggar Peraturan-peraturan Perancangan Bandar dan Desa (Komposisi Kesalahan), 2018, seperti meletakkan, menggunakan, menghalang, mempamerkan barang-barang di kawasan-kawasan kaki lima dan landskap yang boleh mengundang bahaya akibat daripada keadaan kawasan yang licin serta kotor.
Kegiatan seperti ini juga boleh menjejaskan nilai estetika dan kecantikan kawasan-kawasan perniagaan di negara ini.
Untuk makluman orang ramai, denda bagi setiap satu kesalahan adalah sejumlah wang tidak melebihi $500.
Syarikat-syarikat berkenaan telah diberikan tempoh tujuh hari dari tarikh kompaun dikeluarkan untuk menjelaskan denda-denda tersebut.
Pihak Autoriti Perancang melalui JPBD juga mengingatkan orang ramai, pemilik-pemilik dan para pengusaha bangunan perniagaan dan perusahaan untuk sama-sama sentiasa mematuhi undang-undang perancangan dan bertanggungjawab bagi memastikan keindahan, kebersihan serta keselamatan kawasan perniagaan di negara ini untuk sentiasa dijaga.
Sebarang pertanyaan lanjut, orang ramai boleh menghubungi talian hotline JPBD di talian 8200222.
