MONTREAL, 16 JUN – Sebuah trak bertembung dengan bas yang membawa penumpang warga emas di tengah wilayah Manitoba, Kanada semalam menyebabkan sekurang-kurangnya 15 orang terbunuh dan 10 mangsa cedera.
Menurut laporan pihak polis Kanada menerusi laman Twitter, para pegawai bertindak balas terhadap ‘kemalangan yang melibatkan ramai mangsa’ itu berdekatan bandar Carberry, selatan Winnipeg. Manakala responden pertama dan unit pasukan Polis Diraja Kanada yang lain juga telah berada di tempat kejadian.
“Apa yang boleh saya pastikan sekarang adalah bas yang membawa kira-kira 25 orang penumpang itu telah bertembung di antara persimpangan lebuh raya satu dan lebuh raya lima,” menurut pegawai RCMP Manitoba, Rob Hill kepada pemberita, sambil menambah kebanyakan orang dalam bas mini itu adalah warga emas.
“Lima belas orang telah disahkan meninggal dunia,” manakala 10 lagi dibawa ke hospital dengan pelbagai kecederaan, katanya.
Hospital di wilayah itu mengesahkan mereka bertindak balas terhadap sejumlah besar mangsa dan semua kemudahan berada dalam keadaan tersedia.
Kemalangan tersebut berlaku di lebuh raya Trans Kanada di utara Carberry.
Beberapa kain penutup yang diletakkan di atas tanah, menutupi beberapa mangsa, menurut Perbadanan Penyiaran Kanada, yang mengatakan saksi menggambarkan melihat sebuah kenderaan terbakar di dalam parit berhampiran lebuh raya. – AFP


