Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 26 JULAI – Seramai 15 orang warga asing telah ditahan dalam operasi sepadu yang menyasarkan dua kediaman pekerja asing di kawasan Kampung Batu Apoi dan Kampung Senukoh, Daerah Temburong, kelmarin.
Operasi melibatkan 71 orang pegawai dan anggota penguat kuasa undang-undang dari Daerah Polis Temburong, Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB), Jabatan Kastam dan Eksais Diraja (JKED), Jabatan Imigresen dan Pendaftaran Kebangsaan (JIPK), Biro Kawalan Narkotik (BKN), Bahagian Penguatkuasaan Ugama (BPU), Jabatan Keselamatan Dalam Negeri (JKDN), Bahagian Kawalan Makanan Halal (BKMH) dengan diketuai oleh Pemangku Pegawai Jenayah Daerah Polis Temburong, Penolong Penguasa Polis (ASP) Muhd Ajib bin Haji Ahmad Awal.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan PPDB, hasil daripada operasi berkenaan, sembilan orang warga asing ditahan dan sebanyak 24 karton dan 45 paket rokok pelbagai jenama dirampas oleh pihak JKED bagi siasatan dan tindakan selanjutnya.
Manakala itu, pihak JIPK menahan enam orang warga asing untuk siasatan kerana gagal mengemukakan dokumen pengenalan yang sah.
Kenyataan menekankan, PPDB akan meningkatkan lagi usaha dalam menangani kegiatan-kegiatan negatif serta anasir-anasir jenayah hingga ke peringkat akar umbi demi menjaga keamanan, keselamatan dan kesejahteraan Negara Brunei Darussalam.
