Oleh Yusrin Junaidi –
BANDAR SERI BEGAWAN, 15 MEI – Seramai 150 belia masjid baru-baru ini telah menyertai Program Rehlah Belia yang berlangsung di Jame’ ‘Asr Hassanil Bolkiah, Kampung Kiarong dan di Pantai Muara.
Program yang diungkayahkan oleh Kumpulan Belia Masjid Senegara dengan kerjasama Kumpulan Syababurroja, Jame’ ‘Asr Hassanal Bolkiah, Kampung Kiarong, dikhususkan untuk para belia yang bertujuan untuk membangun minda dan kepentingan penjagaan fizikal mereka. Di samping itu, ia juga bertujuan untuk mengeratkan lagi silaturahim dalam kalangan belia dengan suasana yang positif dan kondusif di samping mendedahkan para belia tentang keindahan ciptaan dan kebesaran Allah SWT agar dapat meningkatkan keimanan mereka.
Program berkenaan adalah penting kerana belia merupakan aset yang berharga bagi negara. Justeru, belia perlu sentiasa dijaga dan dididik agar dapat menjadi generasi yang terbaik.
Selain program itu, pelaburan dalam program pembangunan belia juga perlu diteruskan agar para belia sentiasa berada dalam lingkungan yang kondusif dan soleh.
Belia-belia masjid merupakan role model dan qudwah terbaik bagi para belia di Negara Brunei Darussalam.



