Monday, February 10, 2025
23.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    150 guru agama sertai aktiviti riadah

    Oleh Yusrin Junaidi –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 9 FEB – Kira- kira 150 orang guru sekolah-sekolah agama Kawasan Brunei 1 pagi tadi menyertai aktiviti riadah bertempat di kawasan Concourse Stadium Negara Hassanal Bolkiah, Berakas.

    Hadir selaku tetamu kehormat acara ialah Ketua Unit Sekolah Ugama, Bahagian Kokurikulum, Jabatan Pengajian lslam (JPI), Haji Jaya bin Haji Metussin.

    Acara dimulakan dengan nyanyian lagu kebangsaan dan kemudian diikuti dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan Doa Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam.

    Acara diteruskan dengan ucapan alu-aluan daripada pengerusi Jawatankuasa Pemimpin Sekolah-sekolah Ugama (JKPSSU) Brunei I dan kemudiannya sesi pemanasan badan sebelum memulakan riadah berjalan kaki beramai-ramai.

    Dalam ucapan alu-aluannya, pengerusi JKPSSU berkata, dalam dunia yang semakin mencabar ini, tekanan mental dan emosi sering menjadi ancaman kepada semua, termasuk semua guru agama.

    Haji Jaya menyertai riadah berjalan kaki di kawasan Concourse Stadium Negara Hassanal Bolkiah, Berakas. – GAMBAR OLEH YUSRIN JUNAIDI
    Antara guru yang mengambil bahagian dalam aktiviti tersebut. – GAMBAR OLEH YUSRIN JUNAIDI
    Pengerusi Jawatankuasa Pemimpin Sekolah-sekolah Agama (JKPSSU) Brunei I menyampaikan ucapan pada acara itu. – GAMBAR OLEH YUSRIN JUNAIDI

    “Tugas guru agama bukanlah satu tanggungjawab yang mudah. Beban kerja yang berat, tuntutan masa dan cabaran menguruskan pelbagai situasi di sekolah boleh menjejaskan kesihatan mental jika tidak diuruskan dengan baik.

    “Oleh itu, aktiviti riadah seperti ini bukan sekadar hiburan, tetapi ia adalah terapi untuk jasmani dan rohani. la membantu melancarkan peredaran darah, meningkatkan daya tahan tubuh serta merangsang hormon yang memberi ketenangan jiwa.

    “Beriadah bersama rakan-rakan seperguruan juga mengukuhkan ukhuwah, mengurangkan stres, dan mengembalikan semangat untuk terus mendidik generasi muda anak-anak bangsa,” katanya.

    Dalam ucapannya, beliau menyeru kepada semua agar sentiasa menjadikan aktiviti fizikal sebagai rutin dalam kehidupan.

    “Sentiasa luangkan masa untuk bersenam, berjalan santai, atau melakukan senaman ringan. Insya-Allah, akan lebih sihat, bertenaga, dan dapat menjalankan tanggungjawab sebagai guru agama dengan lebih baik.”

    Aktiviti riadah yang dikendalikan oleh JPI melalui JKPSSU itu diadakan adalah untuk memupuk amalan gaya hidup yang sihat serta memelihara kesejahteraan mental dan fizikal.

    Selain itu, ia juga untuk mengeratkan lagi hubungan silaturahim dan perpaduan dalam kalangan guru-guru sekolah agama Kawasan Brunei I.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda