Oleh Sim Y. H. dan Nurdiyanah R.
BANDAR SERI BEGAWAN, 25 MAC – Usaha terus dilaksanakan untuk membantu meringankan beban golongan yang memerlukan apabila Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah (Yayasan) menyampaikan sumbangan kewangan berjumlah $139,300 berserta dengan sumbangan berbentuk makanan asasi, kuih-muih dan minuman ringan kepada 150 keluarga yang terdiri daripada warga emas dan golongan yang memerlukan di seluruh negara, hari ini.
Sumbangan itu disalurkan melalui Program Ihsan Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah sempena bulan Ramadan 1446H/2025M. Selain itu, Yayasan turut menyumbangkan peralatan keperluan pesakit khususnya bagi warga emas sebagai sebahagian daripada usaha berterusan dalam menyantuni golongan yang memerlukan.
Program itu adalah sejajar dengan matlamat strategik Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah dalam mengimbangi pemedulian terhadap keperluan asasi golongan yang memerlukan.
Penyampaian sumbangan berkenaan dikendalikan di beberapa buah kampung di keempat-empat daerah dengan Daerah Brunei dan Muara diketuai oleh Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Awang Nazmi bin Haji Awang Mohamad selaku Ahli Lembaga Pengarah Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah.
Turut hadir ialah Setiausaha Tetap di Kementerian Pembangunan, Dr Nor Imtihan binti Haji Abdul Razak selaku Pemangku Pengarah Urusan Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah.
Bagi penyampaian di Daerah Belait adalah oleh Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Datin Seri Setia Dr Hajah Romaizah binti Haji Mohd Salleh selaku Ahli Lembaga Pengarah Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah.
Sementara di Daerah Tutong pula adalah oleh Menteri Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Abdul Manaf bin Haji Metussin selaku Ahli Lembaga Pengarah Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah.
Manakala penyampaian untuk Daerah Temburong adalah oleh Penguam Negara, Yang Berhormat Datin Seri Paduka Dayang Hajah Nor Hashimah binti Haji Mohammed Taib selaku ahli Lembaga Pengarah Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah.
Sumbangan menerusi Program Ihsan Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah berkenaan diharapkan dapat membantu meringankan beban perbelanjaan keluarga dalam menyediakan keperluan di bulan Ramadan di samping membantu menjalani ibadah puasa dengan lebih sempurna serta merasai kegembiraan dalam menyambut Hari Raya Aidilfitri yang bakal tiba.