Ahad, 23 November 2025
23.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    150 muslimah sertai sambutan maulud Nabi

    Oleh Yusrin Junaidi

    BANDAR SERI BEGAWAN, 15 SEPT- Ahli Jawatankuasa Muslimah bersama Kelas Muslimah dan Ahli Jawatankuasa Takmir Masjid Jubli Perak Sultan Haji Hassanal Bolkiah menganjurkan Sambutan Maulidur Rasul Muslimah Zon 2 bagi masjid-masjid di dalam Mukim Kilanas kelmarin.

    Majlis yang disertai kira-kira 150 muslimah dari masjid-masjid zon tersebut telah  diadakan di masjid berkenaan dengan dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah oleh Hajah Martiniwati binti Hj Umar dan diteruskan dengan persembahan dikir dan qasidah daripada pasukan muslimah setiap masjid.

    Persembahan dibuka dengan dikir Assalaimualaika oleh Ahli Takmir Muslimah & Kelas Muslimah MJP SHHB, Kampung Jangsak. Setiap masjid kemudian menyampaikan persembahan masing-masing termasuk dikir Khairumah (Masjid Kg. Bunut), dikir Bisyahrin (Masjid Kg. Bengkurong), dikir Alhamdulillah (Masjid Kg. Kilanas), dikir Badat Lana (Masjid Ar-Rahman, Kg. Tanjung Bunut), qasidah pilihan oleh jemputan dari Kampung Kiarong (Kumpulan Az-Zahra), dan dikir Asyraqal oleh Ahli Muslimah Masjid Duli Raja Isteri Pengiran Anak Damit (Masjid Mukim) Bebatik Kilanas.

    Majlis diteruskan dengan doa dikir oleh Aimi Amalina binti Haji Abdullah, diikuti Doa Selamat dan Doa Peliharakan Sultan dan Negara oleh Nurul Hafizah binti Haji Sarudin.

    Para peserta seterusnya menikmati jamuan ringan sebelum majlis bersurai. Keseluruhan program diselesaikan sebelum Solat Asar dan peserta dipersilakan menunaikan solat berjemaah selepas itu.

    Sambutan ini bukan sahaja memberi peluang kepada para muslimah masjid untuk memperingati kelahiran Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW tetapi juga mengeratkan silaturahim serta memupuk semangat bekerjasama dalam menjayakan majlis di masjid.

    Semua di atas: Antara suasana semasa majlis tersebut.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda