Oleh Syahmi Hassan
BANDAR SERI BEGAWAN, 25 Feb – Seramai 150 orang dari kalangan kumpulan belia masjid dari Daerah Brunei dan Muara serta para pelajar sekolah agama yang terpilih telah menyertai Program Minal Masjid Ilal Masjid anjuran Jawatankuasa Takmir Masjid Kampung Lambak Berakas yang berlangsung selama empat hari hingga hari ini.
Majlis penutup program bertema ‘Mari..Tah..Bedudun..’ berkenaan telah diadakan di Masjid Lambak Berakas di mana hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman? yang seterusnya menyampaikan sijil-sijil kepada peserta program.
Turut hadir ialah Menteri Perhubungan, Yang Berhormat Awang Abdul Mutalib Bin Pehin Orang Kaya Seri Setia Dato Paduka Haji Mohd Yusof; Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama, Pengiran Dato Seri Paduka Haji Bahrom bin Pengiran Haji Bahar; ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Pengiran Haji Ali bin Pengiran Maon; Pemangku Ra’es Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan, Dr. Haji Adanan bin Haji Besar dan Timbalan Setiausaha Tetap (Pentadbiran dan Kewangan) di Kementerian Hal Ehwal Ugama, Awang Roslan bin Haji Taja’ah.
Terdahulu, salah seorang wakil peserta telah menyampaikan ucapan yang antara lain berkongsi pengalaman mereka termasuk kepentingan menunaikan kewajipan bersolat tepat pada masanya.
“Aktiviti yang dijalankan membimbing kami untuk mengoptimumkan masa, yang perlu digunakan dan diisikan dengan perkara yang berkebajikan, jangan dibiarkan jadi sia-sia,” tambahnya.


Manakala itu, Yang Berhormat Pehin Ustaz Haji Awang Badaruddin dalam ucapannya di majlis tersebut pula telah memberikan kata-kata nasihat kepada para belia yang merupakan penyambung generasi negara dan akan mencorak negara pada masa hadapan.
Tambahnya, mereka perlu bersatu padu dan mempraktikkan acara-acara mengikut calak keagamaan Brunei yang perlu diamalkan dan menghargai nilai-nilai Islam demi menuju Wawasan Brunei 2035.
Antara objektif program adalah untuk mengisi dan memanfaatkan masa terluang semasa cuti kelepasan awam Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam ke-34.
Ia juga bertujuan untuk menjalinkan hubungan silaturahim dalam kalangan belia di samping itu memakmurkan lagi masjid dengan pelbagai aktiviti.
Selain itu, ia diharap dapat menarik lebih ramai lagi golongan belia khususnya untuk menyertai kumpulan belia masjid.
Antara pengisian program tersebut adalah mengenang sejarah hidup Baginda Rasulullah S.A.W dan pelbagai aktiviti menarik yang boleh memberi pengalaman, pengetahuan dan kemahiran antaranya lawatan ke masjid-masjid, ceramah, perbincangan, kerja amal dan sebagainya.