Thursday, October 5, 2023
27.6 C
Brunei

    -

    150 sertai aktiviti Run for Life

    Oleh Daniel Lim – 

    BELAIT, 14 SEPT – Kemudahan Perubatan Rawatan Asas (PCMF) telah mengadakan Aktiviti Pengumpulan Dana Amal bertajuk Run for Life yang diadakan tempat letak kereta Sekolah Hornbill berdekatan dengan fasiliti tersebut, kelmarin.

    Dengan kehadiran lebih 150 pelari yang terdiri daripada kanak-kanak hingga dewasa, aktiviti yang dianjurkan oleh PCMF itu bertujuan untuk membantu menggalakkan gaya hidup aktif selain membantu mengumpul dana dan membantu pelbagai badan amal seperti yang dinyatakan oleh pegawai perubatan kanan di PCMF, Leftenan Kolonel Christopher Trow.

    “Acara pada petang kelmarin itu merupakan acara pelbagai fungsi. Pertama sekali, kami ingin membantu mengumpul dana bagi menyokong ketiga-tiga badan amal, dengan salah satu badan amal tempatan adalah Pusat Ehsan Al-Ameerah Al-Hajjah Maryam,” jelasnya.

    Dua badan amal lain termasuk Perkhidmatan Kebajikan Perubatan Pertahanan (DMWS) yang merupakan badan amal bebas yang menyediakan kebajikan perubatan kepada mereka yang terus beroperasi di barisan hadapan; serta Amanah Kebajikan Gurkha yang membantu veteran Gurkha, bersama keluarga dan komuniti mereka yang lebih luas untuk menjalani kehidupan mereka dengan bermaruah di Nepal.

    Di samping membantu ketiga-tiga badan amal ini, kami baru sahaja menerima pengiktirafan Piagam Amalan Aktif daripada Kolej Diraja Pengamal Perubatan Umum United Kingdom (UK RCGP). Dengan pengiktirafan tersebut ia menunjukkan usaha yang besar oleh fasiliti perubatan seperti PCMF bagi menggalakkan kakitangan mereka, pesakit, serta komuniti yang lebih luas untuk menjalani gaya hidup aktif.

    Antara peserta yang menyertai aktiviti berkenaan. – Gambar oleh Daniel Lim
    Catherine Pochkhanavala-Cleeve menyampaikan hadiah kepada salah seorang pemenang semasa aktiviti berkenaan. – Gambar oleh Daniel Lim

    Antara contoh yang beliau nyatakan termasuk menganjurkan acara Run for Life stermasuk tindakan-tindakan kecil lain seperti mengadakan mesyuarat tetap dan sebagainya dengan harapan mereka boleh menjadi contoh untuk orang lain mengikuti langkah mereka dalam menjalani gaya hidup sihat.

    “Kami mahu semua orang bergerak, mengurangkan berat badan, menjadi lebih aktif dan makan secara sihat,” tambahnya.

    Hadir untuk menyaksikan serta menyertai larian sejauh 3 kilometer (km) itu ialah Timbalan Pesuruhjaya Tinggi British ke Negara Brunei Darussalam, Catherine Pochkhanavala-Cleeve.

    Larian lain yang diadakan sebagai sebahagian daripada acara Run for Life termasuk larian 1km dan 5km, dengan semua pelari menyempurnakan larian masing-masing mengelilingi Jalan Satu Selatan dan Jalan Dua Selatan, Seria.

    Pada akhir larian, Catherine Pochkhanavala-Cleeve juga berpeluang menyampaikan sijil pengiktirafan kepada PCMF serta trofi khas kepada setiap pemenang.

    Mereka termasuk Master Isaac Donald yang menduduki tempat pertama dalam larian 1km, manakala Rfn Kushal Rana memenangi tempat pertama dalam larian 3km diikuti oleh LCpl Laxman Magar di tempat kedua.

    Bagi larian 5km, Kapten (Dr) Alex Tough menduduki tempat pertama diikuti Sgt Applegate di tempat kedua. Bagi memeriahkan lagi majlis tersebut, beberapa cabutan bertuah turut diadakan dengan pelbagai hadiah diberikan kepada pemenang bertuah.

    Setelah menganjurkan Run for Life, PCMF juga sebelum ini telah menjalankan aktiviti berorientasikan kesihatan yang serupa seperti Spinning Challenge, Pan Borneo Virtual Run, dan banyak lagi. Selain itu, PCMF juga dijadual menganjurkan kempen derma darah tahunan mereka pada 3 Oktober.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Anda

    Iran ketatkan kawalan ke atas sekolah antarabangsa

    TEHRAN, 4 OKT - Ia merupakan permulaan penggal baharu di Iran tetapi tahun ini ia menyayat hati bagi pelajar di sekolah antarabangsa selepas keputusan...