Oleh Yusrin Junaidi –
BANDAR SERI BEGAWAN, 18 NOV – Lebih 150 orang peserta menghadiri Simposium Antarabangsa Bahasa Arab 2025 yang berlangsung di Auditorium Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA), Kampus Gadong, menghimpunkan para sarjana, penyelidik dan pengamal bahasa Arab dari dalam serta luar negara.
Hadir selaku tetamu kehormat ialah Rektor UNISSA, Dato Seri Setia Dr Haji Norarfan bin Haji Zainal.
Dalam ucapan Dekan Fakulti Bahasa Arab (FBA), UNISSA, Dr Hajah Rafidah binti Haji Abdullah semasa pembukaan acara berkenaan berharap untuk memperkukuh kerjasama serantau serta menjadikan simposium sebagai agenda tahunan antara inti sari utama yang diketengahkan.
Simposium anjuran FBA itu memberi ruang kepada para peserta membincangkan perkembangan semasa, inovasi pedagogi dan masa depan pengajian bahasa Arab dalam era digital.
Penganjuran tahun ini mengangkat tema Reka Bentuk Buku Teks Bahasa Arab untuk Pelajar Asia Tenggara, yang menekankan keperluan pembangunan bahan pengajaran yang sesuai dengan budaya, konteks pembelajaran dan latar bahasa pelajar serantau. Tema tersebut turut memberi fokus kepada pendekatan pedagogi berkesan bagi pembelajar bukan Arab, penggunaan teknologi pendidikan, penyusunan kandungan sistematik serta reka bentuk visual mesra pelajar.


Simposium menampilkan tiga pembentang kertas perdana, iaitu Ketua Umum dan Pengurus Pusat IMLA Indonesia, Profesor Dr Uril Bahruddin; Penasihat Pusat Lingual Arab (ARLIC) Indonesia, Profesor Dr Abdul Karim Awad Hayaza; serta Profesor Bahasa Arab UNISSA, Profesor Dr Siti Sara binti Haji Ahmad. Selain itu, sembilan pembentang ucaptama turut menyampaikan kertas kerja masing-masing.
Menurut pihak penganjur, objektif utama simposium termasuk memperkukuhkan jaringan kerjasama akademik antarabangsa; meningkatkan profesionalisme dalam pengajaran bahasa Arab; membincangkan peluang serta cabaran era kecerdasan buatan, pembelajaran digital dan globalisasi; serta merangsang penghasilan penerbitan ilmiah berkualiti tinggi dalam bidang bahasa Arab dan pendidikan.
Para peserta turut berpeluang meneliti penyelidikan terkini dalam bidang linguistik, pendidikan bahasa Arab, terjemahan, kesusasteraan Arab, teknologi bahasa dan kajian interdisiplin.
Dalam ucapannya, Dekan FBA juga menekankan bahawa pemilihan tema simposium mencerminkan keperluan mendesak untuk menghasilkan bahan ajar yang benar-benar sesuai dengan realiti dan budaya pelajar Asia Tenggara, di samping berperanan sebagai jambatan kefahaman budaya antara masyarakat serantau. Beliau turut memaklumkan bahawa satu mesyuarat khas akan diadakan pada sesi petang bagi merumuskan saranan praktikal hasil perbincangan ilmiah.
Simposium berkenaan menyerlahkan peranan UNISSA dalam memartabatkan penyelidikan serta pengajian bahasa Arab di peringkat antarabangsa, di samping menyokong Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) dan Wawasan Brunei 2035 dalam melahirkan modal insan berpengetahuan tinggi serta berdaya saing.
