PITTSBURGH, 31 Okt – Kira-kira 1,500 orang memenuhi jalan-jalan raya Pittsburgh bagi mengadakan tunjuk perasaan secara aman kerana menentang lawatan oleh Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump dan bagi memperingati 11 orang Yahudi yang terbunuh di sebuah kuil.
Perhimpunan yang disertai oleh pelbagai peringkat usia dan kepercayaan, termasuk kanak-kanak dan warga emas, berjalan sejauh enam blok bangunan dengan membawa sepanduk “President Hate, Leave Our State!” dan “Trump’s Lies Kill.”
Mereka berjalan melalui Squirrel Hill, sebuah kejiranan yang pelbagai dan bertoleransi di mana ia merupakan nadi bagi komuniti Yahudi di Pittsburgh, tempat terletaknya kuil yang menjadi saksi serangan Sabtu lalu.
Trump membuat penerbangan ke bandar itu bersama isterinya, Melania, bagi memberikan penghormatan di kuil Tree of Life, namun kebanyakan di bandar Demokratik berkata retorik Trump lebih ke arah ‘white supremacy’ dan menyebabkan timbulnya anti-Sematisme di seluruh Amerika Syarikat.
Perhimpunan itu bermula dengan penganjur membacakan satu surat terbuka yang ditulis oleh sebuah kumpulan yang terdiri daripada pemimpin Yahudi kepada Trump, memberitahunya bahawa dia bertanggungjawab atas serangan tembakan itu dan memintanya untuk tidak datang ke sana.
Ketika penunjuk perasaan melintasi sebuah stesen bomba dan anggota polis yang berkawal, mereka memberikan sorakan “terima kasih” dalam sumbangan mereka kerana menjadi pihak tindak balas pertama yang dikerahkan menangani serangan minggu lalu itu.
Sebahagian besar penunjuk perasaan terlalu emosi untuk bercakap dengan media, sementara perhimpunan itu diadakan dengan penuh disiplin dan aman.
Seorang anggota polis di tempat perhimpunan mengesahkan bahawa tiada kemalangan atau kejadian yang tidak diingini ketika presiden berada di tempat berkabung bagi mangsa-mangsa yang terkorban. – AFP
