Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 7 Mei – Sebanyak 1,500 kilogram beras telah diagih-agihkan kepada pengunjung yang berada di kawasan The Mall, Gadong, semalam bersempena dengan kedatangan bulan Ramadan ini.
Pengagihan berkenaan dilaksanakan oleh Pengurus Pentadbiran Abdul Razak Holding, Haji Awang Suhaimei bin Haji Awang Besar, Haji Awang Mohamad bin Awang Mohd Yussuf dan Awang Matussin bin Haji Mahmud.
Turut mengagihkan beras-beras berkenaan ialah ahli-ahli pengurusan, Haji Awang Mohammad bin Awang Mohd Yussof dan Dayang Siti Rashidah binti Hassan selaku pengarah operasi Kumpulan Hotel ARH.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan hotel berkenaan, pengagihan beras pusu itu, satu paket seberat satu kilogram setiap seorang, dilakukan di luar bangunan Hotel Antarabangsa Rizqun.
Selain mengagihkan kepada pengunjung yang berada di sana, kenderaan yang melintasi bangunan tersebut turut diberikan paket beras yang sama.
“Selain beramal, pendatang luar negara juga berpeluang untuk membawa balik produk tempatan ke negara mereka,” ujarnya sambil menambah, pihak pengurusan akan mengadakan majlis bersungkai bersama anak-anak yang kelainan upaya di bawah Unit Pendidikan Khas di Rizqun Coffee House yang juga sebagai salah satu aktiviti amal mereka.
Pemberian sumbangan itu merupakan aktiviti tahunan pihak pengurusan dalam bulan Ramadan penuh berkat ini, yang mana pada tahun ini ia telah membuat kelainan dengan memberikan beras tempatan di samping bubur kacang pada tahun lepas.