Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 8 JUN – Sebanyak 15,054 orang penerima yang terdiri daripada golongan asnaf fakir dan miskin serta tanggungan mereka di seluruh negara, kelmarin telah menerima agihan daging korban sempena Majlis Ibadah Korban Sunat Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam serta Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Raja Isteri dan Kerabat Baginda bagi Tahun 1446 Hijrah / 2025 Masihi.
Jumlah agihan berkenaan adalah hasil daripada penyembelihan sebanyak 206 ekor haiwan korban termasuk 192 ekor sapi dan 14 ekor kambing.
Majlis penuh keberkatan berkenaan diadakan pada pagi Hari Raya Aidiladha, bertempat di perkarangan Jame’ ‘Asr Hassanil Bolkiah, Kampung Kiarong, sejurus selepas selesai Sembahyang Sunat Hari Raya Aidiladha.
Berkenan berangkat bagi menyempurnakan majlis berkenaan ialah, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri.
Turut berangkat, paduka adinda Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Malik.
Keberangkatan tiba Duli Yang Teramat Mulia dijunjung oleh Pengerusi-pengerusi Bersama dan Penasihat-penasihat Bersama Jawatankuasa Tertinggi Majlis Ibadah Korban Sunat, termasuk Yang Di-Pertua Adat Istiadat Negara, Yang Amat Mulia Pengiran Indera Setia Diraja Sahibul Karib Pengiran Anak Haji Idris bin Pengiran Maharaja Lela Pengiran Muda Abdul Kahar; Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman; Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan Kedua, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Halbi bin Haji Mohd Yussof; Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar; Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Awang Nazmi bin Haji Mohamad dan Mufti Kerajaan, Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia Dr Ustaz Haji Awang Abdul Aziz bin Juned.
Pada majlis berkenaan, dua ekor kambing disempurnakan penyembelihannya oleh Duli Yang Teramat Mulia Pengiran Muda Mahkota dan Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Malik.
Manakala, penyembelihan haiwan-haiwan korban selebihnya disempurnakan oleh dua syarikat yang telah dilantik iaitu Syarikat Mohammed Norfaidzal bin Haji Zainuddin dan Anak-Anak serta Syarikat PDS Abattoir Sdn Bhd.
Majlis Ibadah Korban berkenaan bukan sekadar acara tahunan, tetapi menzahirkan nilai-nilai ketaatan, keikhlasan dan pengorbanan, sebagaimana dicontohkan oleh Nabi Ibrahim AS dan Nabi Ismail AS yang terus menjadi teladan kepada umat Islam.



