Oleh Salawati Haji Yahya –
BANDAR SERI BEGAWAN, 29 OKT – Seramai 1,512 graduan yang mengikuti pelbagai program latihan di Institut Pendidikan Teknikal Brunei (IBTE) diraikan hari ini pada Majlis Konvokesyen IBTE ke-32.
Daripada jumlah berkenaan, 47 graduan terdiri daripada pelatih lepasan Akademi TVET, 52 orang lepasan graduan Diploma (Tahap 5), 800 graduan HNTec, 522 graduan NTec dan 91 graduan lagi adalah daripada Sijil Kemahiran Kelayakan Perindustrian (ISQ).
Majlis pada hari ini dibahagikan kepada dua sesi, iaitu sesi pagi dan sesi petang yang berlangsung di Dewan Plenari, Pusat Persidangan Antarabangsa (ICC), Berakas.
Hadir selaku tetamu kehormat majlis dan menyempurnakan penyampaian sijil kepada para graduan pada sebelah pagi ialah Menteri Sumber-sumber Utama dan Pelancongan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Abdul Manaf bin Haji Metussin.
Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan Doa Selamat yang dipimpin oleh Imam Tingkat 1, Masjid Sufri Bolkiah Perpindahan Berakas, Awang Abdul Razak bin Samat dan diikuti dengan bacaan ayat-ayat Suci Al-Quran daripada pelajar IBTE Kampus Agroteknologi dan Sains Gunaan, Awang Wafri Ilmi Azezee bin Zanidi.
Yang Berhormat Dato turut menyampaikan Anugerah Pelatih Terbaik, Anugerah Akademik Cemerlang, Anugerah Cemerlang IBTE Student Activities Rewards System (STARS) dan Anugerah Duta China kepada graduan-graduan yang terpilih.
Anugerah Duta China merupakan program bersepadu antara Kedutaan Republik Rakyat China di Negara Brunei Darussalam dengan Kementerian Pendidikan dan meliputi para pelajar yang terdiri daripada lima buah institusi pendidikan tinggi termasuk IBTE.
Antara lain tujuan diperkenalkan adalah untuk mendorong dan menggalakkan lebih ramai lagi pelajar tempatan bagi terlibat sama khususnya dalam kerjasama dua hala, di bawah rangka kerja Belt and Road Initiative.
Selain itu, ianya juga untuk menyuntik semangat inspirasi belia berbakat yang mempunyai prestasi cemerlang, sentiasa bergiat aktif dalam menyumbang pembangunan negara serta menggalakkan kerjasama praktikal kedua-dua buah negara.
Terdahulu, Pengarah Pendidikan Teknik dan Ketua Pegawai Eksekutif IBTE, Dr Haji Mohd Zamri bin Haji Sabli, dalam ucapan alu-aluannya antara lain mengongsikan, pada tahun ini IBTE terus mengukuhkan komitmennya dalam meningkatkan kompetensi pelajar melalui penyertaan dalam Program Mobiliti ASEAN-ROK.
Di samping dapat memberi peluang kepada pelajar IBTE menjalani latihan di beberapa negara ASEAN seperti Thailand, Vietnam, Kemboja, dan Filipina.
Katanya lagi, “Program ini memberi pengalaman berharga kepada para pelajar, selain membantu mereka menyiapkan diri menghadapi cabaran pasaran kerja global, serta memperkembangkan kemahiran pada peringkat antarabangsa”.
Selain itu, beliau turut mengongsikan penglibatan IBTE dalam pelbagai bidang sama ada di peringkat tempatan dan global.
Di samping kemahiran teknikal dan praktikal, IBTE juga komited terhadap perkembangan holistik para pelajar. Oleh itu, IBTE STARS diwujudkan sebagai platform untuk menyokong pembangunan pelajar secara menyeluruh, baik daripada aspek profesional mahupun peribadi.
Program ini antara lain bertujuan menggalakkan para pelajar untuk aktif dalam aktiviti bukan akademik yang dapat memperkaya pengalaman mereka dengan kemahiran kecekapan peribadi serta meningkatkan kesedaran tanggungjawab sosial.
IBTE STARS mengiktiraf dan memberi insentif kepada penyertaan pelajar dalam aktiviti kokurikulum melalui pemberian mata ganjaran.
Program itu mempromosikan keseimbangan antara kesihatan, kesejahteraan, dan pertumbuhan profesional yang bermanfaat untuk persediaan ke dunia pekerjaan.
Manakala pada sebelah petang hadir selaku tetamu kehormat majlis dan seterusnya menyempurnakan penyampaian sijil kepada pelajar yang diraikan ialah Timbalan Menteri Tenaga, Dato Seri Paduka Haji Mohammad Azmi bin Haji Mohd Hanifah, selaku Pengerusi Lembaga Pengelola IBTE.
Majlis Konvokesyen IBTE ke-32 diteruskan lagi pada sebelah petang dengan penyampaian sijil-sijil NTec dan ISQ kepada seramai 613 graduan dan diikuti dengan penyampaian Anugerah Pelajar Terbaik kepada empat orang penerima.
Turut hadir pada majlis konvokesyen berkenaan ialah ahli-ahli Lembaga Pengelola IBTE serta para ibu bapa dan ahli keluarga para graduan yang diraikan.