Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 2 SEPT – Seramai 152 mualaf telah menyertai Skim Bimbingan Lanjutan II Mualaf Siri ke-41 (Lelaki) dan Siri ke-42 (Perempuan) yang dianjurkan oleh Pusat Dakwah Islamiah (PDI) melalui Bahagian Pembangunan Mualaf (Tarbiyah Mualaf) dengan kerjasama Unit Dakwah Daerah-daerah.
Skim berkenaan berlangsung selama 14 hari bermula 25 Ogos hingga 11 September kecuali pada hari Ahad, dengan pengisian yang menekankan ilmu aqidah, ibadah dan akhlak.
Daripada jumlah berkenaan, 47 orang menyertai di Daerah Brunei dan Muara bertempat di Bangunan Darul Huda, PDI; 41 orang di Daerah Tutong yang diadakan di Sekolah Ugama Pengiran Anak Puteri Norain bagi peserta lelaki dan di Pejabat Unit Dakwah Daerah Tutong bagi peserta perempuan; 41 orang di Daerah Belait bertempat di Pejabat Unit Dakwah Daerah Belait; serta 23 orang di Daerah Temburong bertempat di Pejabat Unit Dakwah Daerah Temburong.
Selain sesi pengajaran dan pembelajaran, turut diadakan sesi perkongsian mengenai undang-undang syariah yang disampaikan oleh pegawai dari Jabatan Perundangan Islam, Kementerian Hal Ehwal Ugama, serta lawatan sambil belajar ke Balai Khazanah Islam Sultan Haji Hassanal Bolkiah.
Sebagai usaha berterusan dalam menjaga dan memelihara kemaslahatan mualaf di negara ini, PDI turut menyediakan pelbagai program bimbingan antaranya Bimbingan Pengenalan Islam, Skim Bimbingan Asas (Melayu dan Inggeris), Skim Bimbingan Lanjutan I dan Skim Bimbingan Lanjutan II, selain Kelas Bimbingan Mualaf mingguan di keempat-empat daerah.
Semua di atas: Antara suasana semasa dalam pengisian skim berkenaan.

