Jumaat, 21 November 2025
24.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    153 disaman tidak pakai tali pinggang keledar dalam bas

    MELAKA, 29 JULAI – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Melaka mengeluarkan 153 notis saman kepada penumpang serta pemandu bas ekspres dan persiaran kerana tidak memakai tali pinggang keledar, dalam tempoh 1 Julai hingga kelmarin.

    Pengarah jabatan, Siti Zarina Mohd Yusop berkata daripada jumlah itu, sebanyak 18 notis dikeluarkan kepada pemandu bas manakala 135 notis saman dikeluarkan kepada penumpang kenderaan. 

    “Pemakaian tali pinggang keledar diwajibkan ke atas semua penumpang dan pemandu bas ekspres serta persiaran bermula 1 Julai lepas dan hingga hari ini, kita telah memeriksa sebanyak 350 kenderaan terbabit. Kesalahan berkenaan dikesan menerusi penyamaran anggota dalam bas terlibat selain penguatkuasaan operasi yang dijalankan secara berkala sepanjang tempoh itu,” katanya kepada pemberita selepas Operasi Khas Bersepadu JPJ Melaka di Batu Berendam, Melaka kelmarin.

    Beliau berkata menerusi penguatkuasaan itu, kebanyakan pemandu bas dan penumpang didapati tidak memakai tali pinggang keledar disebabkan sikap sambil lewa dan kurang kesedaran walaupun telah diingatkan oleh pemandu sebelum memulakan perjalanan.

    Justeru, tindakan mengeluarkan saman tanpa kompromi dilakukan sebagai peringatan kepada pemandu dan penumpang supaya tidak mengulangi kesalahan itu.

    Siti Zarina berkata pihaknya telah mengadakan sesi libat urus dengan semua pengusaha syarikat bas ekspres dan persiaran di negeri itu sebagai inisiatif menghebahkan perlaksanaan pematuhan pemakaian tali pinggang keledar. 

    Selain itu, pihaknya mengeluarkan bahan promosi dalam bentuk soft copy seperti poster berkaitan perlaksanaan penguatkuasaan untuk ditampal dalam kenderaan sebagai peringatan kepada pemandu dan penumpang bagi mengelak disaman. – Bernama

    Pemandu bas memastikan para penumpang memakai tali pinggang keledar dalam satu tinjauan Bernama di Hentian Kajang pada 14 Julai. 153 telah disaman kerana enggan pakai tali pinggang keledar dalam bas. – Gambar fail Bernama
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda