Oleh Sim Y. H. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 31 MEI – Penubuhan Pusat Pembangunan Belia (PPB) bermatlamat untuk melihat lebih ramai golongan belia negara yang berkemahiran, mampu berdikari dan berusaha sendiri serta mempunyai potensi untuk menyumbang secara positif kepada pembangunan dan kemajuan negara.
Ia adalah selaras dengan Wawasan Brunei 2035 yang menumpukan kepada melahirkan rakyat yang berpendidikan, berkemahiran tinggi dan berjaya.
Di samping itu, usaha itu juga selaras dengan yang dikehendaki dalam Dasar Belia Negara dan Strategi 2020-2035 melalui Strategi Teras 3 iaitu pendidikan, kebolehambilan kerja dan pekerjaan wajar.
“Melalui strategi ini, kita ingin melihat dan memastikan semua belia di negara ini, untuk mempunyai pekerjaan yang bermakna pada masa hadapan dan mendapat akses kepada pendidikan dan latihan kemahiran yang relevan dengan keperluan industri secara holistik.”
Perkara itu dinyatakan oleh Penolong Pengarah PPB, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS), Awang Haswandi bin Haji Osman dalam ucapannya semasa Majlis Pendaftaran dan Taklimat Pelatih Program Pembangunan Belia 2024, yang berlangsung di Dewan Bina Diri, PPB, Kampung Tanah Jambu, kelmarin.
Dalam memastikan PPB tetap relevan sebagai pusat kecemerlangan bagi pembangunan latihan dan kemahiran di negara ini, jelas Awang Haswandi, fokus latihan kemahiran turut dilebarkan dengan melaksanakan lebih banyak Program Artisan Skills. Ia meliputi dan merangkumi perlaksanaan di keempat-empat daerah secara inklusif ke arah hasrat untuk meningkatkan kebolehpasaran pekerjaan, keusahawanan dan peluang untuk melanjutkan pelajaran ke tahap yang lebih tinggi.
Beliau menyatakan, bagi Program Pembangunan Belia 2024, kira-kira 44 peratus belia yang terpilih terdiri daripada golongan sasaran tertentu yang diharapkan berpeluang sama dalam menimba ilmu kemahiran di PPB.
Seramai 153 orang telah diterima untuk mengikuti 10 kursus di bawah Program Pembangunan Belia yang ditawarkan di PPB bagi kemasukan 2024.
Para pelatih akan memulakan pengajian dengan berasrama penuh di PPB dan akan memulakan program induksi mereka pada 3 Jun yang akan dijalankan selama dua minggu.
Mereka akan menjalani tiga komponen penting sepanjang tempoh pengajian mereka selama setahun iaitu Program Latihan Kemahiran, Program Pembangunan Diri dan Program Penempatan Kerja.
Sepuluh kursus yang ditawarkan di bawah Program Pembangunan Belia Tahun 2024 adalah Level 2 Diploma in Food Preparation and Culinary Arts, Level 2 Diploma in Food Preparation and Culinary Arts – Patisserie, Level 1 Diploma in Accident Repair Body, Level 1 Certificate in Engineering (Welding), ITQ Level 1 For IT Users, Skills Proficiency Certificate in Basic Plumbing, Skills Proficiency Certificate in Basic Refrigeration & Air Conditioning, Skills Proficiency Certificate In Basic Food Preparation, Kursus Kemahiran Asas Rekaan Fesyen Teknologi dan Kursus Kemahiran Asas Terapi Kecantikan, yang diajarkan dalam bentuk teori dan juga praktikal.
Manakala itu, di bawah Program Pembangunan Diri, para pelatih akan diajarkan mengenai perkara-perkara berkaitan dengan semi akademik yang mana ia merangkumi program-program yang berkaitan dengan falsafah Melayu Islam Beraja (MIB), keagamaan dan kerohanian, kesukanan, kemasyarakatan dan kenegaraan.
Sementara itu, di penghujung pengajian, para pelatih akan mengikuti Program Penempatan Kerja sama ada di sektor kerajaan atau sektor swasta.
Bagi para pelatih yang memilih bidang keusahawanan sebagai trajektori kerjaya mereka, mereka juga akan didedahkan dengan pelbagai aktiviti dan projek di dalam Program Keusahawanan seperti Program YDC Lights On semasa di dalam Program Penempatan Kerja nanti.