QUITO, 1 Mac – Penyokong pemuliharaan telah melepaskan 155 ekor kura-kura gergasi di sebuah pulau di Galapagos dalam usaha untuk membantu menggantikan spesies yang sama, yang pupus 150 tahun lalu, menurut para pegawai, semalam.
Anak kura-kura, daripada baka Chelonoidis hoodensis, telah dilepaskan di Pulau Fe, menurut kenyataan perkhidmatan Taman Negara Galapagos.
Kura-kura itu, yang berusia antara 10 hingga 12 tahun, dibesarkan di pusat pembiakan Fausto Llerena, merupakan sebahagian daripada program untuk meningkatkan populasi kura-kura di pusat kepulauan Pasifik itu.
Juga dikenali sebagai Kura-kura Gergasi Espanola, haiwan reptilia yang baru dilepaskan itu merupakan spesies yang sama dengan Chelonoidis spp, yang sudah pupus hari ini. Haiwan itu pada asalnya datang dari Pulau Espanola, yang juga dikenali sebagai Hood Island, di tenggara rangkaian Galapagos.
“Kura-kura yang telah dilepaskan memiliki mikrocip di bawah kulit mereka dengan nombor tetap dipasang bersama bagi memudahkan haiwan itu dijejaki,” kata Ketua Taman Negara, Galapagos Jorge Carrion.
Kura-kura yang baru dilepaskan itu menyertai 394 ekor kura-kura lain yang dibebaskan di pulau seluas 9.5 batu persegi itu. Program itu, dikendalikan oleh perkhidmatan taman negara dan Pemuliharaan Galapagos NGO, dijangka diteruskan sehingga 2026. – AFP
