Oleh Yusrin Junaidi & Daniel Lim
BANDAR SERI BEGAWAN, 28 APRIL – Selaras dengan dasar dan tujuan penubuhannya, Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah (Yayasan) hari ini menyampaikan sumbangan berbentuk kewangan dan makanan berjumlah keseluruhannya $155,750 kepada sebanyak 150 buah keluarga di seluruh negara secara serentak melalui Program Ihsan Yayasan sempena bulan suci Ramadan.
Ia bertujuan membantu meringankan perbelanjaan keluarga berkenaan pada bulan Ramadan dan memberikan keceriaan kepada mereka menyambut Aidilfitri kelak. Di Daerah Brunei dan Muara, Program Ihsan Yayasan diketuai oleh Menteri Pembangunan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Ir Haji Suhaimi bin Haji Gafar, selaku ahli Lembaga Pengarah Yayasan menyampaikan sumbangan kepada beberapa buah keluarga.
Turut menyampaikan sumbangan ialah Setiausaha Tetap (Perancangan, Guna Tanah dan Alam Sekitar) di Kementerian Pembangunan, Dr Nor Imtihan binti Haji Abdul Razak, selaku pemangku pengarah Urusan Yayasan.
Di Daerah Belait, penyampaian sumbangan diketuai oleh Penolong Pengarah Urusan 3, Hajah Donnaliza binti Abdullah Puasa dan juga pegawai dan kakitangan dari Yayasan yang menyampaikan sumbangan kepada empat buah keluarga terdiri daripada sebuah keluarga di Kampung Sungai Teraban, dua di berek Kampung Mumong dan sebuah di Rancangan Perumahan Negara Kampung Panaga. Penyampaian sumbangan di daerah-daerah lain pula disempurnakan oleh penolong-penolong pengarah urusan dan para pegawai Yayasan.
Wartawan Media Permata turut berkesempatan menemu bual beberapa penerima di Daerah Brunei dan Muara, antaranya Awang Ismail bin Haji Said yang melahirkan perasaan terharu dan tidak menduga menerima sumbangan. Menurutnya, sumbangan sedikit sebanyak akan dapat meringankan bebanan harian dan membuat persediaan menjelang Aidilfitri kelak.
Manakala Dayang Armah binti Haji Hitam turut menjunjung kasih ke hadapan majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dan kerabat diraja kerana dengan adanya bantuan itu akan membolehkan beliau membuat persiapan menyambut Hari Raya kelak.
Beliau yang merupakan kali pertama menerima sumbangan daripada pihak Yayasan, turut berterima kasih kepada Yayasan atas sumbangan tersebut.


