Oleh Sim Y. H.
Gambar oleh Lyna Mohamad
BANDAR SERI BEGAWAN, 28 APRIL – Sebanyak $15,700 telah disumbangkan oleh Persatuan Hokkien Brunei Darussalam kepada Tabung Anak Yatim Daerah Brunei dan Muara pada majlis yang berlangsung di Pejabat Daerah Brunei dan Muara, hari ini.
Dalam majlis berkenaan, sumbangan telah diterima oleh Pegawai Daerah Brunei dan Muara, Awang Mislee bin Haji Abdul Karim, di mana sumbangan disampaikan olah para penderma didahului oleh Pengerusi Persatuan Hokkien Brunei Darussalam, Lim Han Chiong.
Sumbangan yang dihulurkan itu merupakan sumbangan peribadi daripada ahli-ahli eksekutif persatuan berkenaan termasuk Lim Han Chiong; Penasihat Hal Ehwal Pentadbiran, Lim Kok Kim; Timbalan Pengerusi, Lim Sooi Tiong; Naib Pengerusi, Lee Eng Ching, Goh Kok Leong dan Tan Chin Wan serta ahli-ahli eksekutif yang lain.
Sementara itu, ketika ditemu bual, Lim Han Chiong menyatakan bahawa sejak penubuhan persatuan itu, mereka terus menghulurkan sumbangan derma kepada Tabung Anak Yatim Daerah Brunei dan Muara setiap tahun pada bulan Ramadan dan berharap sumbangan itu akan dapat mengurangkan bebanan anak-anak yatim dan keluarga mereka.
Beliau turut menyatakan bahawa persatuannya terus aktif dalam pelbagai aktiviti kebangsaan yang dijalankan dan juga aktif untuk menghulurkan bantuan kepada mereka yang memerlukan serta berharap untuk menghulurkan bantuan kepada keluarga-keluarga yang kurang bernasib baik di masa akan datang.

