158 kes disyaki denggi di Marib

SANAA, 18 NOV – Sejumlah 158 kes disyaki denggi telah dicatat di Wilayah Marib, Yaman dalam tempoh dua minggu lepas, lapor agensi berita China Xinhua memetik laporan media pro pemerintah kelmarin.

Menurut laman sesawang berita Almasdar Online, kes terbabit dicatat di daerah Aljubah di selatan Marib.

Awadh al-Ramli, seorang pegawai kesihatan di Marib, telah dipetik sebagai berkata ‘kes denggi semakin meningkat’ di wilayah itu.

Minggu lepas, pihak berkuasa kesihatan di ibu kota Sanaa yang dikuasai pemberontak Huthi berkata mereka terpaksa berdepan dengan penularan wabak malaria dan denggi di beberapa wilayah utara termasuk Hudaidah, Hajjah, Raymah, Mahweet, Taiz, Ibb dan Saada. – Bernama