Oleh Hajah Saemah Kepli
SERIA, 30 Ogos – Seramai 16 orang ahli Pasukan Pengakap 3018, Maktab Anthony Abell (AAC) telah diraikan pada Majlis Istiadat Meningkat Naik Pengakap Muda ke Pengakap Remaja yang berlangsung di dewan maktab tersebut, di sini, hari ini.
Hadir pada majlis tersebut ialah Pengerusi Majlis Pengakap Persatuan Pengakap Daerah Belait (PPDB), Awang Terry D. Jayasuriya dan Eksekutif Komiti PPDB, Leftenan Kolonel (B) Awang Ramli bin Abdul Hadis.
Majlis telah dimulakan dengan Istiadat Menaikkan Bendera Kebangsaan Negara Brunei Darussalam kemudian diteruskan dengan ikrar Persetiaan Pengakap.
Istiadat Meningkat Naik merupakan satu istiadat yang penting dan tidak boleh ditinggalkan, yang mana ia menjadi satu peristiwa yang sangat menggembirakan bagi pengakap muda yang akan meningkat naik daripada Pengakap Kanak-kanak kepada kumpulan Pengakap Muda dan ke Pasukan Pengakap Remaja.

Apabila ahli Pengakap Muda mencecah usia melebihi 14 tahun, mereka akan diserapkan ke Pengakap Remaja di mana ahli-ahli berkenaan akan lebih mempelajari mengenai latihan kepimpinan, penjelajahan dan perbarisan.
Hadir sama pada majlis tersebut ialah Pemangku Penolong Pesuruhjaya PPDB Bahagian Pengakap Muda dan Remaja, Awang Mohammad bin Haji Suhaili; Pemangku Penolong Pesuruhjaya
Pengakap Bahagian Wanita, Dayang Siti Rosmahwardey binti Haji Rosli; Pengetua AAC, Dayang Mas Diana binti Abdul Samat; pemimpin-pemimpin PPDB, Awang Yahya bin Majid, Awang Dayang bin Kahar dan Awang Mohammed Sufri @ Bohari bin Haji Sabli serta pemimpin-pemimpin Pasukan Pengakap AAC.