Oleh Yusrin Junaidi & Daniel Lim –
BANDAR SERI BEGAWAN,16 JULAI – Seramai 16 orang anak damit yang dilahirkan pada 15 Julai sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ke-79 diraikan pada Majlis Kesyukuran dan Penyampaian Cenderamata, yang berlangsung di tiga buah hospital seluruh negara, hari ini.
Daripada 16 anak damit yang dilahirkan, 12 anak damit dilahirkan di Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha (RIPAS); tiga anak damit dilahirkan di Hospital Suri Seri Begawan (HSSB), Daerah Belait; dan seorang anak damit telah dilahirkan di Pusat Perubatan Jerudong (JPMC). Anak damit pertama telah dilahirkan di Hospital RIPAS manakala anak damit terakhir telah dilahirkan di JPMC.
Majlis di Hospital RIPAS diserikan dengan kehadiran isteri Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Pengiran Datin Hajah Norzana binti Pengiran Haji Rosli, selaku tetamu kehormat.
Di JPMC, majlis dihadiri oleh isteri Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Datin Hajah Binanun binti Haji Bungsu. Sementara itu, di HSSB, majlis dihadiri oleh isteri Menteri Pembangunan, Datin Fadzlin binti Hashim, yang hadir selaku tetamu kehormat.
Pada majlis berkenaan, para tetamu kehormat menyampaikan cenderamata yang terdiri daripada wang yang dikreditkan ke dalam Akaun Simanja di Perbadanan Tabung Amanah Islam Brunei (TAIB), barang keperluan anak damit dan ibu, serta potret kenangan ibu bapa bersama anak damit, sebagai tanda kenangan dan penghargaan sempena hari yang bersejarah itu.
Perbadanan TAIB turut menyumbangkan hamper barangan keperluan anak damit dan wang tunai yang dimasukkan ke dalam Akaun Simanja.
Sementara itu, Insurans Islam TAIB Holdings Sdn Bhd dan anak-anak syarikatnya turut memberikan sumbangan berbentuk Pelan Takaful Siswa bernilai $240 bagi tempoh setahun kepada setiap anak damit yang diraikan.
Selain itu, Bank Islam Brunei Darussalam (BIBD) juga tidak ketinggalan dalam menyemarakkan majlis dengan menyumbangkan cenderahati berupa produk Satu Kampung Satu Produk (1K1P) kepada tetamu-tetamu kehormat dan jemputan di ketiga-tiga hospital berkenaan.
Majlis itu merupakan salah satu acara tahunan di bawah Jawatankuasa Kebangsaan Sambutan Perayaan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ke-79 bagi Tahun 2025, sebagai simbolik doa dan syukur kepada Allah SWT atas rahmat dan kesejahteraan yang dikurniakan kepada negara.