Oleh Salawati Haji Yahya
BANDAR SERI BEGAWAN, 4 JULAI – Seramai 16 warga asing telah ditahan dan tujuh lagi dikenakan kompaun kerana melakukan pelbagai kesalahan dalam Operasi Bersepadu yang dijalankan di kawasan Kampung Sabun, Mukim Mentiri, baru-baru ini.
Operasi Bersepadu berkenaan dikendalikan oleh Jabatan Daerah Brunei dan Muara (JDBM) melalui Bahagian Perlesenan dan Penguatkuasaan bersama agensi penguatkuasaan dari Biro Kawalan Narkotik (BKN), Jabatan Kastam dan Eksais Diraja serta Jabatan Imigresen dan Pendaftaran Kebangsaan (JIPK). Daripada jumlah tersebut, tiga daripadanya yang berumur antara 30 hingga 50 tahun ditahan oleh BKN kerana disyaki terlibat dengan aktiviti penyalahgunaan dadah.
Ketiga-tiga lelaki berkenaan disiasat di bawah kesalahan Seksyen 6 (b) Akta Penyalahgunaan Dadah (APD), Penggal 27 iaitu atas kesalahan memakan dadah terkawal, dan Seksyen 7 APD, Penggal 27 iaitu kesalahan memiliki alat perkakas yang digunakan untuk memakan dadah terkawal.
Sementara empat lagi ditahan oleh pihak Jabatan Kastam dan Eksais Diraja kerana kesalahan memiliki rokok dan minuman keras tanpa kebenaran.
Kesemua barang eksibit telah dihukum rampas dan setiap individu terlibat akan dikenakan tindakan di bawah Bab 146, Perintah Eksais 2006.
Operasi turut menahan 12 warga Filipina yang terdiri daripada lapan lelaki dan empat perempuan untuk diperiksa oleh JIPK.
Manakala itu, Bahagian Perlesenan dan Penguatkuasaan JDBM juga telah mengeluarkan kompaun ke atas tujuh individu di bawah Akta Kesalahan-kesalahan Kecil Penggal 30 Bab 12 (1) atas kesalahan membuang sampah yang tidak teratur di kawasan awam dan diarahkan untuk menjelaskan kompaun tersebut dalam tempoh tujuh hari.
