NEW DELHI, 30 JUN – Pegawai kastam India di Mumbai memaklumkan mereka telah menahan seorang penumpang pesawat yang tiba dari Thailand dengan membawa kargo ular hidup yang masih bergerak, menjadikannya rampasan ketiga seumpama itu dalam bulan ini.
“Pegawai kastam sekali lagi berjaya menggagalkan cubaan penyeludupan hidupan liar, 16 ekor ular hidup yang telah dirampas daripada seorang penumpang yang pulang dari Thailand,” kata pegawai kastam di lapangan terbang pusat kewangan India itu.
Menurut kenyataan agensi kastam, penumpang berkenaan yang tiba kelmarin telah ditahan dan ‘siasatan lanjut sedang dijalankan’.
Ular-ular hidup itu termasuk spesies reptilia yang sering dijual dalam pasaran haiwan peliharaan dan kebanyakannya tidak berbisa, atau berbisa lemah dan tidak membahayakan manusia.
Antara spesies yang dirampas termasuk ular garter, ular tikus tanduk dan ular boa pasir Kenya, serta beberapa jenis lain.
Pada awal Jun, pegawai kastam turut menahan seorang penumpang yang menyeludup berpuluh ekor ular berbisa, juga dari Thailand.
Beberapa hari kemudian, seorang lagi penumpang dicekup ketika membawa 100 ekor haiwan termasuk cicak, burung kelicap dan possum pemanjat pokok.
Pemantau perdagangan hidupan liar, TRAFFIC, yang memerangi penyeludupan haiwan dan tumbuhan liar, memberi amaran mengenai trend yang ‘sangat membimbangkan’ dalam penyeludupan yang didorong oleh permintaan terhadap haiwan peliharaan eksotik.
Lebih 7,000 haiwan, hidup dan mati, telah dirampas di sepanjang laluan udara Thailand-India dalam tempoh tiga setengah tahun yang lalu, kata badan itu. – AFP


