JAKARTA, 2 MAC – Sekurang-kurangnya 16 perkampungan di Banten, wilayah paling barat Pulau Jawa, Indonesia, dilanda banjir hari ini selepas hujan sangat lebat berpanjangan sejak dua hari lalu.
Ribuan penduduk di daerah Pandeglang dipindahkan kerana air banjir naik antara 40 hingga 150 sentimeter, menenggelamkan lebih 1,000 rumah.
Jurucakap Lembaga Pengurusan Bencana Nasional Indonesia Abdul Muhari berkata, bagaimanapun, paras air di beberapa lokasi telah surut sejak 8:30 Selasa malam.
Kerajaan tempatan dan penduduk digesa untuk terus berwaspada jika berlaku hujan dengan intensiti tinggi sejam atau lebih.
Masyarakat di sekitar cerun dan tebing sungai berada dalam bahaya berikutan peningkatan mendadak paras air dan hakisan tanah, katanya dalam satu kenyataan.
Menurut Agensi Meteorologi, Klimatologi dan Geofizik hujan dijangka berlaku sehingga esok, sambil menambah kemungkinan akan berlaku hujan lebat dengan ribut petir dan angin kencang juga. – Bernama
