Tuesday, March 18, 2025
23.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    16 kanak-kanak alami simptom ‘serigala jadian’

    MALAGA, 28 OGOS – Seramai 16 kanak-kanak di Sepanyol mengalami simptom ‘serigala jadian’ selepas mengambil ubat yang disyaki tercemar.

    Selepas pengambilan ubat yang dicemari minoxidil iaitu penawar keguguran rambut, kesemua kanak-kanak tersebut mengalami hypertrichosis iaitu pertumbuhan rambut luar biasa di seluruh anggota tubuh badan. Agensi Perubatan dan Produk Kesihatan Sepanyol mengarahkan ubat yang dihasilkan oleh syarikat farmaseutikal berpangkalan di Malaga, Farma-Química Sur Sl itu, ditarik balik daripada edaran bermula 11 Julai lalu.

    Kumpulan kanak-kanak berkenaan telah diberikan ‘omeprazole’, iaitu untuk merawat masalah asid dan penghadaman namun ubat itu tanpa disedari sudah tercemar.

    Pertumbuhan rambut semua kanak-kanak terbabit semakin berkurangan selepas mereka berhenti mengambil ubat berkenaan, lapor akhbar El Pais yang memetik daripada kenyataan sumber kesihatan.

    Para Ibu bapa digesa untuk mendapatkan bantuan perubatan jika mendapati anak mereka diberi formula tercemar itu dan memeriksa farmasi berdekatan untuk mengetahui tahap keselamatan ubat yang dibeli. Difahamkan peringkat pertama ubat berkenaan sudah ditarik balik daripada pasaran bulan lalu apabila menerima 13 laporan kes.

    Tiga laporan lagi dibuat awal bulan ini, menyebabkan penarikan semula satu lagi peringkat ubat dari beberapa buah farmasi terkemuka.

    Pihak berkuasa percaya pencemaran itu telah menjejaskan sehingga 30 farmasi di Andalusia dan 50 peringkat ubat. Susulan pencemaran itu, lesen perniagaan Farma-Química Sur turut digantung dan tidak lagi dibenarkan mengimport atau mengedar sebarang jenis ubat. – Agensi

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda