Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 18 OGOS – Seramai 16 ketua keluarga yang terlibat dalam kejadian banjir, kebakaran dan rumah roboh kelmarin telah menerima bantuan kewangan Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam melalui Jabatan Pembangunan Masyarakat, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS).
Majlis yang berlangsung di Dewan Citra Budaya, KKBS itu dihadiri oleh Pemangku Setiausaha Tetap (Kemasyarakatan), Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan, Dr Siti Norkhalbi binti Haji Wahsalfelah.


Menurut kenyataan, seramai 10 ketua keluarga yang menerima bantuan kewangan kelmarin itu adalah mangsa kebakaran, tiga ketua keluarga mangsa rumah roboh dan tiga lagi adalah mangsa banjir.

Kesemua mangsa dan penghuni rumah yang terlibat dalam kejadian bencana tersebut adalah dalam keadaan selamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan.
Pemberian bantuan kewangan tersebut adalah juga usaha membuktikan keprihatinan dan pemedulian pihak kerajaan terhadap rakyat yang mengalami musibah.

