Oleh Salawati Haji Yahya
BANDAR SERI BEGAWAN, 24 OGOS – Sebanyak $21,525 jumlah keseluruhan bantuan kewangan dari kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, melalui Jabatan Pembangunan Masyarakat (JAPEM), Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS), telah diserahkan kepada 16 orang ketua keluarga.
Majlis penyerahan bantuan tersebut berlangsung di Dewan Citra Budaya, KKBS, kelmarin.
Hadir bagi menyampaikan bantuan kewangan kepada mangsa-mangsa bencana pada majlis yang berlangsung di Dewan Citra Budaya, KKBS, kelmarin, ialah Setiausaha Tetap (Kemasyarakatan) di KKBS, Hajah Nor Ashikin binti Haji Johari, dan Pemangku Pengarah JAPEM selaku pengerusi majlis.
Daripada 16 ketua keluarga yang menerima bantuan kewangan itu, dua ketua keluarga merupakan mangsa yang terlibat dalam kejadian angin kencang, tujuh ketua keluarga terlibat dalam kejadian kebakaran, lima ketua keluarga terlibat dalam kejadian banjir dan dua ketua keluarga yang terlibat dalam kejadian rumah tidak selamat.
Sementara itu, tiga keluarga yang terlibat dalam kejadian rumah roboh dan kebakaran turut menerima bantuan keperluan asasi serta catuan makanan.
Kesemua mangsa dan penghuni rumah yang terlibat dalam kejadian bencana tersebut dalam keadaan selamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan.
Pemberian bantuan kewangan ini adalah bagi meringankan kesusahan yang dialami oleh mangsa-mangsa bencana demi kesejahteraan mereka sekeluarga. Usaha ini menunjukkan keprihatinan dan pemedulian pihak kerajaan terhadap rakyat dan penduduk yang mengalami musibah.






