16 lelaki asyik berjudi katam katam dicekup

Oleh Yusrin Junaidi

BANDAR SERI BEGAWAN, 30 JULAI – Satu kegiatan perjudian telah berjaya ditumpaskan dalam serbuan di sebuah rumah di kawasan Jalan Jerudong Baru, Kampung Tanjong Nangka, di mana 16 orang lelaki turut ditahan.

Unit Penumpasan Perjudian dan Pencegahan Maksiat bersama Unit Siasatan Pecah Rumah dan Curi Kereta, Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) menjalankan serbuan berkenaan sekitar pukul 12 tengah malam berikutan risikan dan intipan awal yang telah dijalankan sebelumnya.

Kesemua suspek merupakan daripada kalangan warga tempatan yang berusia antara 17 sehingga 60 tahun yang dipercayai sedang leka bermain perjudian Katam-Katam.

Turut ditahan semasa serbuan ialah lima orang anggota beruniform yang dipercayai turut terlibat dengan kegiatan tersebut.

Melalui serbuan itu juga, pihak polis telah berjaya merampas beberapa peralatan yang dipercayai digunakan untuk menjalankan kegiatan perjudian seperti dadu, wang tunai, kain untuk permainan Katam-Katam dan Kong (tempat penyimpanan dadu permainan).

Kesemua suspek dan barang rampasan dibawa ke Jabatan Siasatan Jenayah bagi menjalani siasatan lanjut dan kes disiasat di bawah Akta Rumah Judi Terbuka Penggal 28.

Pasukan Polis Diraja Brunei menekankan bahawa kegiatan perjudian merupakan racun masyarakat yang perlu dibendung dengan sewajarnya. Implikasi terhadap kegiatan ini merangsang kepada pengaruh yang sangat negatif sehingga boleh merosakkan institusi kekeluargaan dan masa depan diri sendiri.

Pihak polis telah berjaya merampas beberapa peralatan yang dipercayai digunakan untuk menjalankan kegiatan perjudian seperti dadu, wang tunai, kain untuk permainan Katam-Katam dan Kong (tempat penyimpanan dadu permainan).