JAKARTA, 25 NOV – Banjir kilat dan tanah runtuh melanda Pulau Sumatera, Indonesia, pada hujung minggu lalu, menyebabkan sekurang-kurangnya 16 orang maut, kata agensi bencana negara tersebut.
Tentera dan pegawai penyelamat telah dikerahkan ke empat kawasan yang terjejas di wilayah Sumatera Utara.
“Secara keseluruhan, 16 orang terkorban dan tujuh lagi masih hilang,” kata jurucakap Agensi Pengurusan Bencana Nasional (BNPB), Abdul Muhari, dalam satu kenyataan hari ini.
Daerah Karo mencatatkan jumlah korban tertinggi dengan lima orang terkorban dan lima lagi masih hilang selepas banjir melanda kawasan peranginan pada Sabtu lalu.
Selebihnya, mangsa lain tersebar di tiga daerah lain di wilayah tersebut iaitu Deli Serdang, Tapanuli Selatan dan Padang Lawas.
Rumah, masjid dan kemudahan awam turut mengalami kerosakan.
Muhari berkata Deli Serdang dan Karo sering dilanda banjir kilat dan tanah runtuh.
“Tahun ini sahaja, kedua-dua daerah ini telah dilanda bencana sebanyak tiga kali dan dua kali berturut-turut,” katanya.
Beliau turut memberi amaran kepada rakyat Indonesia agar mengelakkan kawasan pelancongan yang berhampiran dengan air semasa musim hujan.
Indonesia baru-baru ini dilanda pelbagai kejadian cuaca ekstrem yang menurut pakar dipengaruhi oleh perubahan iklim.
Pada bulan Mei, sekurang-kurangnya 67 orang terkorban selepas campuran abu, pasir dan batu-batu kecil yang dibawa dari letusan Gunung Marapi di Sumatera Barat mengalir ke kawasan kediaman yang menyebabkan banjir kilat. – AFP