BOGOTA, 29 JULAI – Sekurang-kurangnya 16 maut manakala 47 lagi cedera selepas bas yang membawa berpuluh-puluh penumpang terbabit dalam nahas di utara Nicaragua, menurut polis semalam.
Bas itu dalam perjalanan dari Managua menuju ke sempadan Nicaragua sebelum terjunam ke dalam cerun curam dan berbahaya yang dikenali ‘La Cucamonga’.
Seramai 13 mangsa yang maut adalah warga Venezuela, seorang rakyat Nicaragua manakala dua lagi belum dikenal pasti.
“Mereka yang terkorban terdiri daripada lima wanita dan 11 lelaki,” lapor Agensi Anadolu memetik kenyataan polis.
Siasatan awal mendapati nahas berlaku apabila bas yang dipandu laju itu bertembung dengan dua buah kereta sebelum terjunam.
“Akibat perlanggaran, pemandu bas hilang kawalan dan bas terjatuh ke dalam gaung.”
Semalam, bas masih berada dalam keadaan terbalik dalam gaung, kira-kira 80 meter dalam, beritahu wartawan AFP di tempat kejadian.
Pemandu bas turut ditahan bagi membantu siasatan.
Menurut penduduk tempatan, Mario Jose Rugama, penumpang menjerit dan keluar dengan kecederaan tulang retak, berlumuran dalam minyak panas disebabkan tangki minyak bocor selepas bas terbalik. – AFP/Bernama
