Jumaat, 21 November 2025
24.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    16 maut dalam kemalangan bas di Bolivia

    LA PAZ, 28 OKT – Kira-kira 16 orang maut dan 32 lagi cedera kelmarin selepas sebuah bas terbabas dan terjunam kira-kira 300 meter menuruni kawasan berbukit di tengah Bolivia, menurut pihak polis.
     
    Kemalangan itu berlaku pada waktu pagi di Morochata, kira-kira dua jam setengah dari bandar Cochabamba, yang terletak 380 kilometer tenggara La Paz.
     
    Kolonel Fernando Aragon, Timbalan Pengarah Jabatan Trafik Cochabamba, mengesahkan jumlah korban awal itu kepada wartawan.
     
    Beliau menyifatkan kejadian itu sebagai ‘antara kes paling rumit kerana melibatkan sebuah bas penumpang’ yang terjunam di kawasan ‘sukar untuk diakses.’
     
    Siasatan awal mendapati pemandu ‘kehilangan kawalan terhadap kenderaan,’ menurut Kolonel Omar Zegada, Ketua Jabatan Trafik nasional, kepada stesen penyiar Unitel.
     
    Pihak berkuasa tidak menyatakan sama ada pemandu berusia 23 tahun itu terselamat atau termasuk dalam senarai mangsa yang terkorban. Jumlah sebenar penumpang di dalam bas juga belum didedahkan.
     
    Menurut data kerajaan, kira-kira 1,400 orang maut setiap tahun di jalan raya Bolivia, kebanyakannya akibat kecuaian pemandu dan kegagalan mekanikal.
     
    Kemalangan paling serius setakat ini pada tahun 2025 berlaku pada bulan Mac, apabila dua buah bas bertembung secara berhadapan di selatan negara itu, mengorbankan 37 nyawa. – AFP
     
    Kemalangan bas yang pernah berlaku di Yocalla, Bolivia, pada 18 Februari lalu. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda