WINDHOEK, 1 SEPT – Sebuah kenderaan polis bertembung dengan van perkhidmatan penjara di selatan Namibia, mengakibatkan 16 orang maut, kata pegawai keselamatan kelmarin.
Kemalangan itu telah berlaku di lebuh raya berhampiran bandar Mariental, kira-kira 270 kilometer di selatan bandar Windhoek, pada pagi Sabtu, menurut kenyataan Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri, Imigresen, Keselamatan dan Pertahanan.
Imej di lokasi kejadian yang disiarkan media menunjukkan kenderaan terbalik dan remuk teruk, dengan mayat bergelimpangan di atas jalan raya serta di tepi laluan.
Kebanyakan mangsa adalah pegawai dan dua daripadanya merupakan orang awam, kata pihak berkuasa. Presiden Netumbo Nandi-Ndaitwah turut menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga mangsa dengan berkata, “Tiada kata-kata mampu menggambarkan kedalaman kehilangan ini”.
Dalam kenyataan presiden, beliau menegaskan, pegawai dan orang awam yang terkorban adalah sebahagian daripada ‘keluarga Namibia’ dan pemergian mereka meninggalkan kekosongan yang sukar diganti.
Kemalangan jalan raya adalah perkara biasa di negara Afrika Selatan dan merupakan antara punca utama kematian di negera tersebut.
Lebih daripada 400 orang terbunuh dalam kemalangan jalan raya sepanjang tahun kewangan 2023-2024, menurut Tabung Kemalangan Kenderaan Bermotor Namibia, sebuah skim kerajaan yang menyediakan rawatan kesihatan, pemulihan, dan sokongan sosial kepada mangsa nahas jalan raya. – AFP


