Tuesday, July 22, 2025
32.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    16 maut dalam nahas pesawat di Bangladesh

    DHAKA, 21 JULAI – Kira-kira 16 orang, kebanyakannya pelajar, terkorban hari ini apabila pesawat latihan Tentera Udara Bangladesh terhempas ke dalam kampus sekolah di ibu negara Dhaka, dalam kemalangan penerbangan paling maut di negara itu dalam beberapa tahun.

    Seorang jurugambar AFP di tempat kejadian melihat pegawai bomba dan penyelamat mengusung para pelajar yang cedera, manakala anggota tentera membantu menyingkirkan serpihan pesawat.

    Lebih 100 orang cedera dalam kemalangan itu, dengan kira-kira 83 lagi sedang menjalani rawatan di beberapa buah hospital, kata pejabat pemimpin sementara, Muhammad Yunus.

    Pesawat F-7 BJI buatan China itu berlepas pada 1:06 petang dan terhempas tidak lama kemudian di kampus Sekolah dan Kolej Milestone. Seorang saksi berkata dia mendengar letupan besar yang dirasakan seperti gempa bumi.

    “Kami mempunyai dua taman permainan, satu untuk pelajar senior dan satu untuk junior,” kata Shafiur Rahman Shafi, 18, pelajar sekolah itu.

    Anggota bomba dan penyelamat Bangladesh menjalankan operasi mencari dan menyelamat di Dhaka pada 21 Julai. – AFP

    “Kami berada di taman permainan senior. Tiba-tiba salah satu daripada dua pesawat pejuang itu terhempas di taman permainan junior,” katanya kepada AFP.

    “Ia menyebabkan letupan dan ia berasa seperti gempa bumi. Setelah itu ia terbakar dan kemudian tentera tiba di tempat tersebut,” tambahnya.

    Kerajaan sementara mengumumkan hari berkabung di seluruh negara itu esok.

    Ibu bapa dan saudara mara mangsa yang bersedih menyerbu masuk ke Institut Pembakaran dan Pembedahan Plastik Kebangsaan di ibu negara, lapor media tempatan.

    Ramai yang cuba mengenal pasti anak mereka menerusi pakaian seragam dan barang-barang lainnya.

    Yunus menyatakan kesedihan yang mendalam atas kejadian itu dalam siaran di X. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda