Friday, October 18, 2024
25.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    16 maut dalam serangan di Nabatiyeh

    BEIRUT, 17 OKT – Lubnan melaporkan bahawa 16 orang terbunuh dalam serangan Israel kelmarin ke atas bangunan perbandaran di bandar selatan Nabatiyeh, termasuk pasukan bantuan yang menghadiri mesyuarat pengurusan krisis.

    Datuk Bandar Nabatiyeh, Ahmad Kahil adalah antara yang terbunuh dalam serangan yang melanda dua bangunan perbandaran ketika mesyuarat tergempar sedang dijalankan, kata gabenor wilayah itu Howaida Turk, menyifatkannya sebagai ‘pembunuhan beramai-ramai’.

    Serangan itu adalah antara 11 serangan ke atas bandar Nabatiyeh dan kawasan sekitarnya, kata Turk kepada AFP.

    Menurut kementerian kesihatan, 16 orang terbunuh dan 52 yang lain cedera dalam serangan ke atas bangunan majlis perbandaran itu.

    Penyelaras kemanusiaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk Lubnan, Imran Riza, berkata “serangan dahsyat itu telah meragut nyawa lebih ramai orang awam dan pihak berkuasa tempatan yang bekerja untuk memberikan bantuan, dengan serangan itu berlaku ketika mesyuarat krisis sedang diadakan di majlis perbandaran”.

    Dalam satu kenyataan melalui e-mel, Riza meratapi kematian tiga “anggota pasukan bantuan yang telah bekerjasama dengan PBB dan rakan-rakan kemanusiaan selama lebih setahun”.

    “Ini adalah waktu yang penting untuk menuntut penghormatan terhadap peraturan perang,” katanya.

    Tentera Israel berkata tenteranya menyerang “puluhan sasaran pejuang Hizbullah di kawasan Nabatiyeh dan membongkar infrastruktur bawah tanah” yang digunakan oleh kumpulan bersenjata yang disokong Iran di selatan Lubnan.

    Pertahanan awam Lubnan berkata, serangan itu membunuh seorang kakitangannya yang berada di bangunan perbandaran bersama rakan-rakannya.

    Penyelamat yang bersekutu dengan pejuang Hizbullah berkata, serangan itu memusnahkan kemudahan perubatan, dengan dua doktor termasuk antara yang terkorban. – AFP

    Sukarelawan dan pasukan Palang Merah Lubnan memindahkan seorang wanita di bandar Nabatiyeh di selatan Lubnan pada 17 Oktober. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda