Sabtu, 22 November 2025
23.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    16 maut dalam timbunan 17 kenderaan di lebuh raya Venezuela

    CARACAS, 14 DIS – Sekurang-kurangnya 16 orang maut dan enam lagi cedera parah yang membabitkan 17 kenderaan dalam kemalangan di lebuh raya di Venezuela, kata pihak berkuasa kelmarin.

    “Setakat ini terdapat 16 mangsa,” kata ketua bomba negara, Juan Gonzalez ketika ditanya mengenai jumlah kematian dalam nahas di lebuh raya Gran Mariscal de Ayacucho, yang menghubungkan ibu negara Caracas, dengan timur negara itu.

    Kemalangan itu berlaku apabila sebuah trak yang dipandu laju merempuh barisan kereta yang terhenti kerana kemalangan kecil, di mana tiada sesiapa yang cedera, kata pegawai.

    Carlos Perez Ampueda, timbalan menteri pengurusan risiko dan perlindungan awam, sebelum ini melaporkan lapan kematian dalam insiden itu, tetapi memberi amaran bahawa jumlah itu akan ‘meningkat dengan ketara.’

    Perez Ampueda berkata 17 kenderaan terbabit dalam kemalangan tersebut.

    Imej api besar di tempat kejadian telah dikongsi secara meluas di media sosial pada pagi kelmarin.

    “Kami mengawal semua kenderaan yang terbakar, termasuk sebuah bas yang terbakar sepenuhnya, kata Perez Ampueda.

    Lebuh raya itu sedang menjalani kerja penggantian asfalt, yang melambatkan ketibaan perkhidmatan kecemasan. – AFP

    Gambar Freepik
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda