ITTA BENA, Miss., 11 Julai – Sebuah kapal terbang tentera AS terhempas di sebuah ladang di luar bandar Mississippi semalam, membunuh sekurang-kurangnya 16 orang dalam kapal terbang dan menyebabkan serpihan bertaburan berbatu-batu jauhnya, kata pegawai.
Pengarah Agensi Pengurusan Kecemasan Daerah Leflore Frank Randle memberitahu wartawan pada satu taklimat bahawa 16 mayat telahpun ditemui selepas kapal terbang KC-130 terhempas ke tanah kira-kira 85 batu dari utara Jackson di Delta Mississippi.
Jurucakap Marine Corps Kapten Sarah Burns berkata dalam satu kenyataan kapal terbang KC-130 ‘mengalami kejadian yang tidak diingini’ pada petang semalam tetapi tidak memberikan butir-butir lanjut. KC-130 digunakan sebagai kapal tangki mengisi minyak.
Andy Jones berkata beliau sedang bekerja di ladang ikan keli keluarganya sejurus sebelum pukul 4 petang apabila beliau terdengar bunyi dentuman dan melihat kapal terbang jatuh bergulung-gulung dengan satu enjin berasap.
“Anda melihat ke atas dan anda melihat kapal terbang berpusing-pusing,” katanya. “Ia berpusing turun.”

Jones berkata kapal terbang jatuh ke tanah di belakang beberapa pokok di ladang kacang soya, dan pada masa beliau dan orang lain sampai ke tapak nahas, api adalah terlalu marak sehingga tidak dapat menghampiri bangkai kapal terbang. Impak nahas hampir-hampir meranapkan kapal terbang, kata Jones.
“Ketinggian adalah pada paras pinggang, dan tidak banyak yang terjulur di atas kekacang,” kata beliau.
Jones berkata seorang lelaki meminjam telefon bimbitnya untuk melaporkan kepada pihak berkuasa bahawa terdapat mayat di Lebuh Raya 82 AS, lebih satu batu dari tapak nahas.
Ketua Bomba Greenwood Marcus Banks memberitahu Greenwood Komanwel bahwa serpihan kapal terbang bertaburan dalam jarak lingkungan kira-kira 5 batu. – AP