KOMANDA, DR CONGO, 3 OGOS – Sekurang-kurangnya 16 orang terbunuh dalam serangan di timur Republik Demokratik Congo yang dilanda konflik semalam.
Menurut sumber awam tempatan, mangsa serangan, termasuk dua wanita, telah diculik beberapa minggu sebelumnya oleh anggota Angkatan Demokratik Sekutu (ADF), yang menurut AS ada kaitan dengan kumpulan IS.
Tawanan tebusan ditikam sampai mati di sepanjang jalan raya utama berhampiran Idohu, di wilayah Ituri yang bergolak, kata pegawai tempatan Dieudonne Malangai. Gabenor tentera Ituri, Johnny Luboya Nkashama ketika bercakap di Komanda, sekitar 40 kilometer dari tempat kejadian itu, mengecam pembunuhan itu.
“Kami akan memperkukuhkan kehadiran kami di rantau ini,” katanya kepada AFP.
Kerajaan negara Afrika tengah yang luas itu telah meletakkan Ituri dan wilayah Kivu Utara yang berdekatan di bawah pengepungan sejak Mei lalu, dalam satu langkah yang bertujuan meningkatkan perjuangan menentang kumpulan bersenjata. – AFP