SEOUL, 24 OGOS – Seramai 16 pelajar universiti Korea Selatan ditahan polis Khamis kerana cuba menceroboh kedutaan Jepun di Seoul sebagai protes terhadap pelepasan sisa air tercemar nuklear ke dalam lautan.
Mereka didakwa cuba menceroboh masuk ke kedutaan Jepun sejurus selepas Jepun mula mengalirkan kumpulan pertama air terawat radioaktif dari Loji Tenaga Nuklear Fukushima Daiichi yang lumpuh ke Lautan Pasifik kira-kira 1 tengah hari waktu tempatan (0400 GMT).
Pelajar berkenaan melaungkan slogan menentang pelepasan dan cuba menceroboh pintu masuk kedutaan di tingkat lapan sebuah bangunan di tengah Seoul, menurut polis.
Mereka ditahan di empat balai polis atas tuduhan menceroboh dan melanggar akta perhimpunan dan demonstrasi.
Kira-kira 40 rakan pelajar lain mengadakan sidang media berhampiran kedutaan Jepun menentang pelepasan air terawat sebelum disuraikan polis. – Bernama


