Oleh Aziz Idris
BANDAR SERI BEGAWAN, 4 DIS – Seramai 16 orang lagi qari dan qariah telah memperdengarkan bacaan masing-masing pada hari kedua Musabaqah Tilawatil Quran Belia Asia Tenggara ke-9 di Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas, malam hari ini.
Turut memperdengarkan bacaan ialah qari dan qariah negara iaitu Awang Abdull Muin bin Haji Abdul Hamid dan Dayangku Siti Ummi Syazana binti Pengiran Marjuki.
Hadir pada majlis itu ialah Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin selaku pengerusi Jawatankuasa Musabaqah Tilawatil Quran Belia Asia Tenggara 2019 di samping menteri-menteri kabinet, ahli-ahli kor diplomatik, jemputan khas, ahli-ahli jawatankuasa dan orang awam.
Pertandingan turut diserikan dengan persembahan tausyeh oleh kumpulan belia Al-Jauhar dari Masjid Kampung Lambak.
Seramai 11 orang qari dan 11 qariah yang berusia antara 15 hingga 30 tahun menyertai pertandingan tahun ini, dari negara-negara ASEAN terma-suk dari Timor Leste.
Malam pertama pertandingan telah menyaksikan enam peserta memperdengarkan bacaan mereka yang termasuk perwakilan dari Indonesia, Malaysia, Myanmar, Filipina, Laos dan Vietnam.
Juara qari dan qariah dalam pertandingan itu akan menerima trofi cabaran yang akan berkenan dianugerahkan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam berserta wang tunai $5,000.
Majlis penyampaian hadiah akan diadakan pada malam esok.

